DATO’ CHEOK LAY LENG DILANTIK SEBAGAI FELO ADJUNG PPPJJ USM

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2026 – Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Dato’ Cheok Lay Leng, telah dilantik sebagai Felo Adjung di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM).
Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman, kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang pengurusan dan pembangunan komuniti.


Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, dalam ucapan beliau menyatakan harapan agar pelantikan tersebut dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara PPPJJ USM dan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang.


Menurut beliau, antara bentuk kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan termasuk penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran serta mendapatkan pandangan dan input daripada pihak industri seperti Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang.
“PPPJJ merupakan sebuah pusat pengajian yang bersifat multi disiplin, justeru kerjasama dengan agensi dan pemain industri amat penting dalam memperkukuh aspek akademik, penyelidikan, dan pembangunan komuniti,” katanya.
Tambah beliau lagi, penglibatan tokoh industri dalam dunia akademik dapat membantu memastikan program pengajian yang ditawarkan kekal relevan, praktikal, serta memenuhi keperluan semasa industri dan masyarakat.

Sebagai Felo Adjung, Cheok dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, industri, dan masyarakat.
Antara tanggungjawab utama termasuk berkongsi kepakaran melalui perkongsian pengalaman, seminar, dan bengkel kepada pelajar serta staf akademik.

Selain itu, beliau juga akan membantu sebagai penasihat kurikulum bagi memastikan silibus pengajian sentiasa relevan dengan kehendak industri semasa.
Penglibatan beliau dalam kolaborasi penyelidikan turut dijangka memberi nilai tambah kepada projek-projek berimpak tinggi yang dijalankan oleh universiti.

Dalam masa yang sama, Cheok turut berperanan sebagai mentor industri kepada pelajar dan pensyarah, sekali gus membantu melahirkan graduan yang lebih kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara USM dan sektor industri, selaras dengan usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan berkualiti tinggi di negara ini.
Teks & Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM
- Created on .
- Hits: 74