USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PASUKAN USM MARA KE FINAL PESTA HOKI

1-0812132-0812133-0812134-081213DSC 0239 2DSC 0264 2

 

PULAU PINANG, 8 Dis. 2013 – Dua pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) mencuri tumpuan peminat sukan hoki apabila mara ke final dan salah satunya muncul johan dalam acara hoki enam dan tujuh sebelah terbesar di Asia, Pesta Hoki Antarabangsa USM-Penang 2013 di sini semalam.

Kelab Sukan Staf USM (KSS USM) terdahulu menewaskan pasukan dari Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD A) dengan jaringan 1-0, sekaligus menjuarai kategori Lelaki Klasik dan membawa pulang trofi D.Y.M.M. Raja Nazrin Shah, wang tunai RM 1,200, medal dan barangan tajaan MILO.

Juga mara ke final, Pusat Sukan Tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia ( PST KPM) yang diletakkan di bawah USM mencuri tumpuan para kenamaan apabila memberikan saingan sengit kepada lawan dari Lembah Klang, Kelab Kilat TNB.

Bagaimanapun PST KPM yang dibarisi pemain-pemain muda tewas menerusi penentuan pukulan penalti setelah terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan penentuan (golden goal) dalam perlawanan yang disaksikan oleh D.Y.M.M. Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Tuanku Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Perlawanan akhir tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, TNC Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Adnan Hussein dan sebagainya.

Omar dalam ucapannya menegaskan, tahun 2013 menyaksikan genap usia ke-40 penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa USM-Penang dan melalui tempoh tersebut pelbagai suka duka telah diharungi demi memartabatkan mutu sukan tanah air.

Katanya, acara sukan tersebut juga telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk Anugerah Kepimpinan Sukan dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records untuk beberapa pencapaian signifikan, antaranya penyertaan paling ramai dan pertandingan hoki paling lama dijalankan tanpa henti.

``Pesta hoki menjadi satu legasi yang dibanggakan USM dan ia wajar diberi penghormatan secara keseluruhan, apatah lagi sebilangan besar yang mengelolakannya adalah dalam kalangan pelajar USM,’’ ujarnya.

Tambah beliau, matlamat utama penganjuran acara ini bukan hanya untuk menggalakkan penyertaan ramai untuk bersaing secara sihat, sebaliknya turut menjadi medan menyampaikan pelbagai mesej dan menerapkan semangat cintakan sukan.

``Kita dapat melihat semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua pasukan dan ia membuktikan permainan ini sememangnya menjadi platform terbaik bagi atlet-atlet muda mengasah dan mengketengahkan bakat mereka,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Pesta Hoki Antarabangsa USM-Penang mula dianjurkan pada tahun 16 dan 17 November 1973 dengan penyertaan 36 pasukan kini telah berkembang dengan penyertaan lebih 400 pasukan termasuk tempatan dan luar negara.

Beberapa kategori dipertandingkan dalam PHA termasuk terbuka, Liga Perdana, Klasik, Veteran, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Remaja dan pelajar-pelajar sekolah meliputi pasukan lelaki dan wanita. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1168

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024