USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUBUH 2 PUSAT BAHARU DAN PERKUKUHKAN PUSAT MEDIA

DSC 0044g

PULAU PINANG, 21 Januari 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) menghargai sumbangan media dan perhatian besar yang diberi selama ini.

Bercakap dalam Perutusan Tahunan Naib Canselor “Bersama-sama untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2015” yang bertemakan Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara di sini, Naib Canselornya Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, seluruh kakitangan USM perlu sedar terhadap perhatian masyarakat terutamanya melalui media kepada universiti selama ini berdasarkan begitu banyak liputan yang diperolehi selama ini.

“Kita amat menghargai media dan akan memperkukuhkan lagi hubungan dengan pelbagai media yang banyak membantu USM untuk lebih memainkan peranan dalam masyarakat dan negara, kerana itu Pusat Media USM akan diperkukuhkan dengan menyatukan Pejabat Komunikasi Strategik dan Pejabat Perhubungan Awam yang sedia ada menjadi Pusat Media USM untuk memainkan peranan lebih besar pada masa hadapan,” kata Omar.

Pusat Media USM yang bermula pada 1 Januari 2015 akan merancang dan memperkukuhkan hubungan USM dengan media melalui pelbagai aktiviti bersama-sama dan melakukan tugas-tugas yang melibatkan hubungan media, promosi dan publisiti, pengurusan acara, penerbitan media termasuk program televisyen dan atas talian dan pelbagai usaha lain yang berkaitan secara berterusan.

Naib Canselor juga turut mengumumkan penubuhan dua pusat baharu iaitu “Creative Design House” (CDH) dan Pejabat Operasi dan Koordinasi Universiti.

“CDH akan menyatukan semua pereka USM di pelbagai pusat dan jabatan di bawah satu bumbung untuk menyelaraskannya sebagai pusat reka bentuk berdasarkan penjenamaan dan entiti USM,” kata Omar.

Manakala Pejabat Operasi dan Koordinasi Universiti akan membantu universiti dalam melaksanakan kerja-kerja operasi umum yang ada di universiti dilaksanakan secara terancang dan diselaraskan bersama-sama semua jabatan di USM dan memastikan setiap keputusan yang dibuat melalui jawatankuasa-jawatankuasa utama universiti.

“Penubuhan pemerkasaan ketiga-tiga pusat dan pejabat ini akan membantu universiti untuk melonjak ke hadapan dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti proses penyampaian USM pada masa hadapan,” kata Omar. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1682

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024