USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRO-CANSELOR RAI ULANG TAHUN KE-40 PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL 2013

DSC 01892-0512131-051213

PULAU PINANG, 6 Disember 2013 - Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur meluangkan masa bersama warga kampus bagi meraikan Ulang Tahun ke-40 Pesta Hoki USM-Penang International 2013 dalam majlis makan malam di sini kelmarin.

Mustafa yang juga bekas pemain hoki yang pernah mewakili USM dan Pulau Pinang sewaktu melanjutkan pelajaran di USM, meluangkan masa hampir 2 jam bersama Ahli Jawatankuasa dan Sekretariat untuk Pesta Hoki pada tahun ini.

Pesta Hoki USM-Penang International buat kali ke-40 akan diadakan selama 4 hari bermula 5 Disember sehingga 8 Disember 2013 di kampus Induk, Universiti Sains Malaysia.

Turut hadir meraikan majlis adalah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin, Dato’ Hj. Nasir Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, USM dan isteri serta wakil rasmi dari Nestle Product, Encik Ng Ping Loong.

Pada ucapan Naib Canselor USM, sempena ulang tahun ke-40 Pesta Hoki, beliau berharap penyertaan dari peringkat antarabangsa akan lebih meningkat sekaligus menaikkan martabat dan reputasi sukan berprestij ini.

“Ternyata penganjuran USM pada Pesta ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat hoki seluruh negara dan peringkat antarabangsa, dan USM amat berbangga kerana penyertaan ini telah membawa kepada pengiktirafan Malaysia Book of Record sebanyak 7 kali sepanjang penganjuran,” katanya ketika berucap di majlis makan malam Pesta Hoki.

Pada masa yang sama, Pro-Canselor sempat melancarkan Buku Pencitraan Pesta Hoki USM-Penang International ke-40 yang mengumpulkan sejarah dan pendokumentasian sejak penganjuran Pesta Hoki pada tahun 1974 sehingga sekarang.

Buku yang terkandung 130 muka surat mengumpulkan sejarah, liputan berita, gambar serta kenangan yang dilalui sepanjang 40 tahun penganjuran.

Pesta Hoki USM-Penang International kali ini bakal disertai oleh 328 buah pasukan dari dalam dan luar negara yang melibatkan kategori IPT, kategori Junior dan kategori Terbuka dan Veteran.

Antara negara yang terlibat pada kejohanan kali ini adalah Sri Lanka, Thailand, Singapura, Brunei, United Arab Emirates (UAE), Uzbekistan dll.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah pada hari Ahad, 8 Disember ini. - Teks: Mohd. Azrul Mohd. Azhar/Foto: Mohamad Danial Shahri

 

  • Created on .
  • Hits: 1112

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024