USM ICE 2026 DIJANGKAKAN PACU JARINGAN KEJURUTERAAN DAN PENYELIDIKAN ANTARABANGSA

NIBONG TEBAL, 20 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) bakal menganjurkan USM International Conference on Engineering 2026 (USM ICE 2026) pada 28 hingga 29 Oktober 2026 ini di SPICE Arena, Pulau Pinang.
Persidangan antarabangsa tersebut dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan dijangka menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pengamal industri serta pakar kejuruteraan dari dalam dan luar negara.
Membawa tema “Advances AI-Driven and Sustainability-Led Global Impact”, persidangan itu akan menjadi platform perkongsian idea, pembentangan penyelidikan serta perbincangan berkaitan inovasi teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian global.
USM ICE 2026 turut mengetengahkan lima persidangan khusus yang dianjurkan oleh pusat-pusat pengajian kejuruteraan di USM melibatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.
Sempena program ini, turut akan diadakan Malaysia Semiconductor Summit 2026 (MSS2026) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Semikonduktor Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM.
Penganjuran berkonsepkan multi-conference itu dijangka membuka ruang kolaborasi rentas disiplin dan memperkukuh jaringan akademik serta industri dalam bidang aeroangkasa, awam, kimia, bahan, mekanikal, dan kejuruteraan alam sekitar.
Antara objektif utama persidangan adalah menyediakan platform untuk pembentangan dan penerbitan penyelidikan berkualiti tinggi, memperluas jaringan profesional antarabangsa serta mengetengahkan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi yang menyokong agenda teknologi dan kelestarian masa hadapan.
Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan serta penghantaran kertas kerja asli daripada ahli akademik, penyelidik, pemain industri, dan institusi penyelidikan dari seluruh dunia.
Maklumat lanjut berkaitan persidangan serta penghantaran abstrak dan kertas kerja boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi persidangan di: https://usmice2026.eng.usm.my/.
Sumber: Laman sesawang USM ICE 2026: https://usmice2026.eng.usm.my/
- Created on .
- Hits: 37