TIMES HIGHER EDUCATION (THE) KETENGAHKAN USM DI EDUCATION WORLD FORUM 2026

USM PULAU PINANG, 20 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan aspek kepimpinannya dalam bidang kelestarian global apabila kertas kajian kes SDG 16 yang dihasilkan telah diterbitkan sebagai kertas putih antarabangsa khas (special international whitepaper) oleh Times Higher Education (THE) yang dilancarkan sewaktu berlangsungnya ‘Education World Forum (EWF) 2026’ di London, United Kingdom.
Kertas putih tersebut, dengan tajuk “How Universities are Contributing to a More Peaceful and Just Society”, menampilkan beberapa inisiatif global universiti yang menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal, SDG) 16: Keamanan, Keadilan, dan Institusi yang Teguh (Peace, Justice, and Strong Institutions).
USM merupakan salah satu daripada hanya empat universiti di dunia yang kajian kes mereka telah terpilih, bersama Queen’s University (Kanada), Durham University (United Kingdom), dan National Economics University (Vietnam).
Dilangsungkan dari 17 hingga 20 Mei 2026 di London, ‘Education World Forum’ tersebut diiktiraf sebagai antara pertemuan kepimpinan terkemuka yang terdiri dari menteri-menteri pendidikan, para penggubal dasar, pemimpin-pemimpin universiti, dan pelbagai organisasi antarabangsa, dengan fokus ke arah masa hadapan berkaitan pendidikan, tadbir urus, kelestarian, dan kolaborasi global.
Kajian kes yang dihasilkan USM, bertajuk “Living Lab for Institutional Trust, Policy Innovation & Inclusive Governance at Universiti Sains Malaysia, Malaysia”, menonjolkan peranan universiti dalam memperkukuh usaha tadbir urus inklusif serta memperkasa dasar kelestarian dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Kajian kes tersebut juga menggariskan peranan USM dalam menyokong Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan membangunkan Kerangka Dasar Kelestarian Institusi Pendidikan Tinggi (KDK-IPT), dasar kebangsaan yang diselaraskan dengan kesemua 17 SDG, prinsip ESG (alam sekitar, sosial, dan tabdir urus), dan agenda Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (Education for Sustainable Development, ESD) 2030.
Berdasarkan penerbitan tersebut, USM telah diiktiraf sebagai “rakan dasar yang dipercayai” (trusted policy partner) dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan pembuat keputusan di peringkat kebangsaan dan reformasi institusi.
Laporan tersebut turut mengetengahkan USM sebagai contoh bagaimana sesebuah universiti berupaya bertransformasi menjadi penasihat dasar serta rakan penghasil bersama sistem dalam rangka kerja tadbir urus, bagi menangani isu kelestarian yang kompleks dan pelbagai cabaran masyarakat.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memposisikan kelestarian sebagai teras transformasi menyeluruh yang diintegrasikan merentas amalan tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, operasi, serta penglibatan komuniti.
"Pengiktirafan tersebut mencerminkan peranan penting universiti yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat keilmuan, tetapi turut bertindak sebagai rakan strategik dalam membentuk sistem kemasyarakatan yang lebih inklusif, bertanggungjawab, dan berdaya tahan," ujar beliau.
Ternyata pengiktirafan tersebut telah mengukuhkan kedudukan global USM dalam bidang kelestarian, berikutan pencapaiannya sebagai universiti dengan prestasi terbaik di dunia bagi SDG 16 dalam Times Higher Education Impact Rankings 2025.
Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman rasmi Education World Forum 2026 di https://www.theewf.org/
Teks Asal: Dr. Normaliza Abdul Manaf, Pengarah, Pejabat Kelestarian Universiti (PKU), USM/Suntingan: Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 74