BUKU TERBITAN USM RAIH ANUGERAH BERPRESTIJ
PULAU PINANG, 2 Dis. 2013 - Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan keunggulannya apabila karya terbitannya, buku Puitika Wanitamenerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) baru-baru ini.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin bersempena Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 di Kuala Lumpur.
Selain buku Penerbit USM, dua lagi karya dari USM turut menerima anugerah dalam majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut, salah satunya drama "Ini Rumah Kita" oleh Aina Nabila.
Aina Nabila ialah pelajar tahun dua, Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK).
Turut tersenarai adalah drama "Antara Bunyi Gendang Ibu dengan Tari Nihon" oleh Ahmad Hashim (staf Dewan Budaya).
Selain mengungguli HSPM, sebuah lagi karya USM berjudul Kanser Payudara, terbitan DBP turut memenangi Hadiah RTM-Perpustakaan Negara, dan kini sedang diulang cetak atas permintaan yang tinggi.
HSPM yang mula diperkenalkan pada 1971 diadakan sebagai acara tahunan bagi menggalakkan lebih banyak penulis di negara ini menghasilkan karya bermutu dan mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Selain memberi pengiktirafan kebangsaan kepada penulis, ia turut berperanan dalam mengenalpasti karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
HSPM merangkumi pengiktirafan terhadap karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang tersiar dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku atau karya yang dipentaskan untuk skrip drama. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 903