USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAWATAN BUDAYA MALAYSIA–THAILAND: GSB USM, KRIRK UNIVERSITY PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK DAN HUBUNGAN PERSAHABATAN

20260519 233446

USM PULAU PINANG, 19 Mei 2026 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menerima kunjungan delegasi dari Krirk University, Bangkok, Thailand sempena ‘Lawatan Budaya Malaysia–Thailand: Meneroka Kepimpinan Lestari dan Integriti Budaya,’ baru-baru ini.

Delegasi Krirk University terdiri daripada seorang staf dan lima pelajar.

Program mobiliti antarabangsa selama tujuh hari itu, dari 20 hingga 26 April 2026, dirangka bagi memberikan pendedahan bermakna kepada peserta terhadap persekitaran akademik di USM, landskap perniagaan dan industri di Malaysia, serta kekayaan warisan budaya Pulau Pinang.

Menurut Dekan GSB USM, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim, “Melalui program ini, GSB USM berjaya memperkukuh kerjasama akademik dan hubungan persahabatan dengan Krirk University, sekali gus menyokong usaha berterusan USM dalam mempromosikan pengantarabangsaan, memperluas penglibatan global, dan menonjolkan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.

Sepanjang program, pendekatan pembelajaran kendiri melalui pengalaman langsung telah digunakan, membolehkan peserta berinteraksi secara terus dengan persekitaran akademik, industri, komuniti, dan budaya.

Gabungan sesi akademik, penglibatan kampus, lawatan industri dan komuniti, aktiviti kebudayaan serta penerokaan warisan bertujuan meningkatkan kefahaman silang budaya, menggalakkan perspektif global, dan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa.

20260519 233451

Antara itinerari program termasuk kuliah bertema di GSB USM, lawatan kampus, serta kunjungan ke lokasi industri dan komuniti terpilih.

Peserta turut berpeluang meneroka tarikan budaya dan sejarah Pulau Pinang seperti George Town, Tokong Kek Lok Si, dan Bukit Bendera.

Program ini diakhiri dengan aktiviti kebudayaan, sesi refleksi, pembentangan peserta serta majlis penutup dan penghargaan di GSB.

Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kedudukannya sebagai pusat pendidikan, perdagangan, industri, dan warisan dunia, selain reputasinya sebagai destinasi pembelajaran antarabangsa yang kondusif.

Inisiatif ini menyediakan platform yang memperkaya pengalaman peserta dalam memahami sistem pendidikan tinggi Malaysia, model perniagaan tempatan, persekitaran industri, dan juga masyarakat majmuk negara.

Teks & Foto: Dr. Chin Phaik Nie, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 74

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025