USM – HP METERAI KERJASAMA STRATEGIK, PACU BAKAT TEKNOLOGI DAN KEJURUTERAAN MASA DEPAN NEGARA

USM PULAU PINANG, 19 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah ke hadapan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan industri apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama HP Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd. (HPMM) dalam satu kerjasama strategik yang dijangka membuka lembaran baharu pembangunan bakat teknologi dan kejuruteraan negara.
Majlis penandatanganan MoU itu menjadi titik penting dalam memperkukuh hubungan akademik dan industri melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi melibatkan pembangunan bakat, pembelajaran berasaskan industri, dan pengukuhan teknologi masa hadapan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama tersebut mewujudkan rangka kerja strategik antara akademia dan industri yang akan memberi manfaat besar kepada komuniti kejuruteraan universiti, khususnya Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM.

Menurut beliau, kerjasama itu akan diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Industry-Infused Incubator (MRI3) dan Industry-Infused Programme (IIP) bagi melahirkan graduan berintelek, seimbang, dan kompeten dalam dunia pekerjaan sebenar.

"Platform ini akan menyediakan pengalaman latihan industri yang berimpak tinggi, projek tahun akhir disokong industri, dan pengalaman praktikal sebenar pekerjaan yang mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar," katanya.

Abdul Rahman turut menegaskan bahawa integrasi kepakaran HP Malaysia dalam ekosistem ‘Industri in Campus’ USM akan merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dan amalan industri.
“Malah, pelajar bakal menerima pendedahan secara langsung terhadap pengeluaran teknologi tinggi, aplikasi Industri 4.0, robotik, dan automasi bagi memastikan mereka benar-benar bersedia memenuhi keperluan industri masa kini,” tambah Abdul Rahman.

Sementara itu di majlis yang sama, Pengarah Urusan HP Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd., Dominic Chew berkata, pemeteraian MoU tersebut bukan sekadar perjanjian formal, malah mencerminkan kepercayaan bersama terhadap kuasa kolaborasi antara industri dan akademia dalam membentuk bakat masa hadapan, mempercepat inovasi, dan memperkukuh ekosistem pembuatan teknologi tinggi Malaysia.

Menurut beliau, HP Malaysia Manufacturing yang beroperasi di Batu Kawan merupakan antara fasiliti pembuatan utama HP di peringkat global yang menghasilkan ‘inkjet printhead’ dengan sokongan keupayaan Industri 4.0 termasuk automasi, analitik data, dan sistem pembuatan digital.
“Kerjasama ini merangkumi pelbagai bidang utama termasuk pendedahan industri dan lawatan tapak, peluang latihan industri serta kerjaya, projek tahun akhir dan Capstone, sokongan kepada inisiatif STEAM seperti ROBOCON serta program peningkatan kemahiran selaras dengan Industri 4.0,” jelas beliau.
Tambah Dominic Chew, HP melihat kerjasama tersebut sebagai pelaburan jangka panjang bukan sahaja kepada pelajar, malah terhadap masa depan keupayaan kejuruteraan negara.
“Gabungan kekuatan akademik dan kecemerlangan penyelidikan USM bersama kepakaran industri serta perspektif global HP diyakini mampu melahirkan generasi bakat teknologi yang lebih kompetitif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” ucap beliau lagi.
Majlis turut diakhiri dengan penyerahan sumbangan berjumlah RM10,000.00 oleh HP Malaysia Manufacturing kepada pasukan ROBOCON USM yang terdiri daripada pelajar-pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, sebagai manifestasi komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan bakat mahasiswa dan inovasi teknologi, khususnya bagi memperkukuh persediaan pasukan tersebut menjelang pertandingan Robot Contest (Robocon) peringkat kebangsaan yang akan datang.

Turut hadir ke majlis ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Pengarah Kejuruteraan, HP Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd., Lee Nget Ham; Ketua Staf merangkap Pengurus Jabatan Perancangan dan Strategik, HP Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd., Ng Kok Seong; dan mewakili Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 122