USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GHEF 2013: KEPELBAGAIAN EKOSISTEM PERKUKUH PENGAJIAN TINGGI

1-0412132-041213MAT 7685

PUTRAJAYA, 4 Dis. 2013 - Penganjuran Forum Pengajian Tinggi Global (GHEF) 2013 yang masuk edisi keempat dilihat sebagai platform terbaik untuk memanfaatkan kepelbagaian yang wujud dalam ekosistem pengajian tinggi merentasi sempadan global.


Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kepelbagaian yang wujud termasuk dalam aspek ilmu kearifan tempatan dapat mengukuhkan lagi peranan bidang pengajian tinggi di persada antarabangsa.

Katanya, diversiti yang ada juga perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian bidang pengajian tinggi dan dijadikan asas untuk membina satu model khusus yang sentiasa berdaya saing pada masa hadapan.


"GHEF 2013 berperanan dalam menyediakan satu ruang diskusi dan percambahan idea dalam memperkembangkan dan menggunakan kepelbagaian suara, mengukuhkan perhubungan budaya, memelihara ilmu kearifan tempatan dan sebagainya.


"Ia turut berperanan dalam memformulasikan penyelesaian kepada isu-isu yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan pengajian tinggi berdasarkan kepada perkembangan terkini di peringkat global," ujarnya dalam sidang media di sini semalam.


Tambah beliau, GHEF turut dilihat sebagai mekanisme terbaik yang dapat membantu negara mewujudkan satu model pengajian tinggi yang holistik melalui input-input yang diperoleh dari para peserta di serata dunia.


"Kita percaya kelestarian masa hadapan bidang pengajian tinggi sangat berkait rapat dengan pelbagai lapisan pemegang taruh baik di peringkat tempatan, serantau dan juga antarabangsa.
"Peranan pengajian tinggi kini bukan sekadar dalam ruang lingkup pengajaran dan pembelajaran semata-mata sebaliknya turut berfokus kepada sumbangan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.


Dalam pada itu, GHEF pada tahun ini dianjurkan dengan penglibatan rakan pintar dari sektor pengajian tinggi swasta, Taylor’s University selaras dengan temanya iaitu “Sustaining Diverse Ecosystem in Higher Education Towards Inclusive Futures".


Timbalan Naib Canselornya, Pradeep Nair pula berkata, kerjasama strategik ini melambangkan satu usaha ke arah meraikan kepelbagaian untuk pembangunan pengajian tinggi secara lebih sistematik dan holistik.


"Kesemua kepelbagaian ini memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan bidang pengajian tinggi di negara ini, selain turut memberi pelbagai kualiti dalam pelbagai bidang yang ada.


"Ia turut berupaya memberi nilai tambah kepada usaha membentuk satu acuan pengajian tinggi tempatan berdasarkan kekuatan yang ada berbanding hanya mengikut acuan barat semata-mata," ujarnya.


GHEF 2013 disertai oleh hampir 200 peserta termasuk pakar-pakar yang berperanan besar dalam pengajian tinggi, antaranya naib-naib canselor universiti, rektor, timbalan-timbalan naib canselor dan sebagainya.


Perasmian GHEF 2013 yang melibatkan penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea, Afrika Selatan dan sebagainya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Profesor Dr. Morshidi Sirat.
- Teks:Marziana Mohamed Alias / Foto:Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024