USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGETUA PULAU PINANG DIDEDAH KEPIMPINAN AI MELALUI SEMINAR PROKAI DI USM

3de4d5f7 74eb 4b63 a092 a2633804d944

USM PULAU PINANG, 19 Mei 2026 – Seramai 81 pengetua sekolah dari seluruh Pulau Pinang menyertai Seminar Kepimpinan AI dalam Pendidikan (ProKAI) yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Murad Mohd Noor, Sains@USM, di sini, baru-baru ini.

Seminar itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Pulau Pinang dan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

16a6e950 689c 484a b561 55ea7e7fce0d

Majlis perasmian disempurnakan Dekan PPIP, Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman. Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa pengetua perlu menjadi contoh teladan dalam mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah.

Turut berucap ialah Naib Yang Dipertua MPSM yang menjalankan tugas Yang Dipertua, Ustaz Suhaimi Othman, yang menyifatkan kolaborasi antara USM dan MPSM sebagai satu inisiatif signifikan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

Seminar itu dianjurkan di bawah Geran Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial menerusi projek Kepimpinan AI (ProKAI) yang diketuai pensyarah PPIP USM, Prof. Madya Dr. Mohd Ali Samsudin.

32c95959 c313 41c4 b491 a6d564980481

Antara pengisian utama seminar termasuk perkongsian mengenai program dan aktiviti kepimpinan AI, demonstrasi penggunaan AI dalam menyokong kecemerlangan akademik serta sesi refleksi bersama pengetua yang hadir.

Dalam sesi demonstrasi, peserta dipertontonkan penggunaan teknologi Agen AI dalam pembelajaran melalui penglibatan dua pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima.

bdfaf893 6603 49cb a66a fa4c9c555dc4

Pelajar tingkatan empat menggunakan Agen AI sebagai rakan pembelajaran dan tutor bagi subjek Biologi, manakala pelajar Tingkatan Lima memanfaatkan teknologi itu sebagai pembimbing ulang kaji dan pembantu latihan bagi subjek Matematik Tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

498d3711 3a04 45f5 8631 3d4a603e03c3

Pendekatan itu memperlihatkan peranan Agen AI sebagai rakan pembelajaran, tutor, pembimbing ulang kaji dan pembantu latihan yang mampu meningkatkan kefahaman serta pencapaian akademik murid.

Sementara itu, Mohd Ali dalam pembentangannya pula mengetengahkan usaha memacu perubahan sekolah berasaskan AI, kepentingan membuat keputusan strategik berkaitan penggunaan AI serta potensinya dalam meningkatkan pencapaian SPM.

a145f6c9 8b4a 4df2 83de 84a2d9a6dc94

73144b9e 9f27 4242 90a8 f699172f41c9

Beliau turut menghuraikan konsep “Revolusi Terkini: Agen AI dalam Pendidikan” dengan menjelaskan tiga peranan utama pengetua dalam pelaksanaan AI di sekolah, iaitu sebagai AI Strategist, AI Decision Maker dan AI Leader.

Menurut beliau, sebagai AI Strategist, pengetua berperanan merancang penggunaan AI secara strategik dan menyeluruh, manakala sebagai AI Decision Maker, mereka bertanggungjawab menentukan pemilihan platform atau alat AI yang sesuai mengikut keperluan sekolah.

Katanya, peranan sebagai AI Leader pula menuntut pengetua memimpin perubahan budaya sekolah dengan menggalakkan penerimaan dan penggunaan AI dalam kalangan warga sekolah.

dffc3cc0 b78f 43dd 9f32 49e8b47b517c

431564dd 4313 43bf bf0e 22282f23c71c

Beliau menegaskan bahawa pengetua yang memahami peranan AI bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya arkitek kepada ekosistem pembelajaran yang lebih pintar dan responsif.

627b9e0c 9dba 4bbc a62d 57c2e6a8ea4d

Penganjuran seminar itu diharap dapat memperkukuh peranan pengetua sebagai pemimpin instruksional dalam mengintegrasikan AI dalam sistem pendidikan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan di Pulau Pinang.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM

  • Created on .
  • Hits: 235

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025