USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMASUKAN UEC DAN TAHFIZ KE UNIVERSITI AWAM: MENGURUS KEPELBAGAIAN LALUAN PENDIDIKAN SECARA STRATEGIK

USM PULAU PINANG, 18 Mei 2026 – Keputusan kerajaan untuk memperluaskan laluan kemasukan ke universiti awam bagi pelajar lepasan Unified Examination Certificate (UEC), institusi tahfiz, dan sekolah swasta kembali mencetuskan perbincangan awam.

Isu ini sering dikaitkan dengan perdebatan dasar, identiti pendidikan, dan sensitiviti masyarakat. Namun dalam realiti pendidikan tinggi hari ini, persoalan yang lebih utama ialah bagaimana Malaysia boleh mengurus kepelbagaian laluan pendidikan secara lebih strategik tanpa menjejaskan standard akademik negara.

Penjelasan terkini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan bahawa dasar ini masih mengekalkan prinsip merit dan syarat nasional.

Pelajar UEC yang memiliki kelayakan SPM penuh boleh memohon ke universiti awam tertakluk kepada syarat program dan keputusan universiti.

Bagi pelajar yang hanya mempunyai UEC tetapi memenuhi syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM, mereka hanya layak memohon program tertentu seperti Bahasa Cina, Linguistik Cina dan Pengajian Cina yang ditawarkan di universiti awam yang tertentu.

Pada masa yang sama, pelajar yang hanya memiliki UEC semata-mata tanpa memenuhi syarat minimum nasional masih tidak layak untuk permohonan kemasukan ke universiti awam.

Pendekatan ini menunjukkan usaha kerajaan untuk mengimbangi keterbukaan akses dengan kepentingan dasar pendidikan nasional.

Dalam konteks pelajar tahfiz, isu ini mempunyai dimensi yang jauh lebih besar daripada yang sering dibincangkan.

Kerajaan memaklumkan bahawa ekosistem tahfiz kini melibatkan 1,401 institusi tahfiz, 10,081 asatizah, dan 61,494 pelajar, manakala 84 peratus langkah di bawah DPTN 1.0 telah diselaraskan dan dilaksanakan di maahad tahfiz seluruh negara.

Ini menunjukkan bahawa isu tahfiz bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya sebahagian daripada agenda pendidikan nasional yang memerlukan laluan mobiliti lebih tersusun.

Namun, cabaran utama yang sering dibangkitkan ialah pengiktirafan formal terhadap sebahagian kelayakan tahfiz swasta yang masih terhad, sekali gus boleh menjejaskan akses ke pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan.

Kajian turut menunjukkan bahawa kira-kira 40 peratus pelajar tahfiz menyatakan hasrat untuk memasuki kerjaya profesional di luar bidang agama, manakala Dasar Pendidikan Tahfiz Negara mensasarkan penghasilan 125,000 profesional huffaz pada masa hadapan.

Malah, kerajaan telah memulakan beberapa intervensi seperti program Fast Track SPM sejak 2019 bagi membantu pelajar tahfiz memperoleh laluan akademik formal.

Ini menunjukkan bahawa agenda peluasan akses bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya sebahagian daripada usaha lebih besar untuk memperkukuh mobiliti pendidikan dan pembangunan bakat negara.

Malaysia juga memerlukan lebih ramai graduan hibrid yang bukan sahaja mempunyai kompetensi teknikal, tetapi juga memiliki kekuatan nilai, etika, kepimpinan sosial dan kefahaman agama yang baik.

Dalam era kecerdasan buatan, automasi dan perubahan pekerjaan masa hadapan, gabungan kompetensi seperti ini semakin bernilai.

Bagi UEC pula, perbincangan ini sering dilihat seolah-olah Malaysia sedang mempertimbangkan pendekatan yang luar biasa.

Namun, pendekatan ini sebenarnya mencerminkan amalan sistem pendidikan tinggi global yang semakin memberi penekanan kepada peluasan akses (widening participation) melalui laluan alternatif, namun tetap mengekalkan mekanisme jaminan kualiti yang ketat di peringkat institusi.

Hakikatnya, amalan antarabangsa menunjukkan bahawa kelayakan ini lazimnya diterima secara bersyarat, bukannya pengiktirafan yang bersifat automatik.

Universiti di United Kingdom dan Australia, sebagai contoh, menilai UEC setara dengan kelayakan pra-universiti lain berdasarkan pencapaian gred, kombinasi subjek serta keperluan tambahan seperti penguasaan bahasa Inggeris.

Sementara itu, sistem pendidikan di Chinese Taipei, China, Hong Kong, dan Singapore menerima UEC dengan lebih meluas, namun masih tertakluk kepada syarat program dan penilaian institusi.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa pengiktirafan sesuatu kelayakan bukanlah bersifat mutlak, tetapi dilaksanakan melalui kerangka penilaian yang terstruktur dan berasaskan merit.

Perbincangan ini juga perlu dilihat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan pembangunan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dalam konteks ini, potensi pelajar tidak seharusnya dinilai secara terlalu sempit hanya berdasarkan satu laluan akademik tradisional.

Pada masa yang sama, peluasan laluan kemasukan perlu terus menghormati prinsip asas pendidikan negara, termasuk kedudukan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai komponen penting yang mendukung pembinaan identiti nasional.

Aspirasi ini turut diperkukuh melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Negara 2026–2035, yang memberi penekanan kepada pembinaan bakat masa depan, akses inklusif, pembelajaran fleksibel, dan pengukuhan daya saing negara.

Dalam jangkamasa panjang, Malaysia turut berhadapan dengan cabaran kadar kelahiran yang semakin menurun, persaingan bakat global, dan perubahan keperluan pasaran kerja. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kumpulan bakat yang lebih luas dan pelbagai.

Namun keterbukaan akses tidak bermaksud kompromi terhadap kualiti.

Peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), universiti awam, dan badan profesional kekal penting dalam memastikan setiap laluan kemasukan memenuhi standard akademik yang ditetapkan.

Pada masa sama, autonomi universiti awam perlu disertai dengan akauntabiliti yang jelas agar keputusan kemasukan kekal telus dan selari dengan kepentingan awam.

Meninjau daripada sudut dasar, beberapa langkah strategik perlu diberi perhatian.

Pertama, kerajaan perlu membangunkan satu kerangka nasional yang lebih jelas bagi menilai kesetaraan kelayakan alternatif seperti UEC, tahfiz, dan laluan bukan tradisional lain perlu melalui mekanisme standardisasi yang lebih telus di bawah pemantauan MQA, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan kementerian lain yang berkaitan. Kerangka ini penting bagi mengelakkan ketidakkonsistenan syarat kemasukan antara universiti serta mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

Kedua, bagi pelajar tahfiz khususnya, tumpuan tidak seharusnya berhenti pada akses kemasukan semata-mata, tetapi perlu diperluas kepada reformasi laluan artikulasi pendidikan. Ini termasuk memperkukuh pengiktirafan pensijilan tahfiz nasional, memperluaskan model Fast Track SPM, program pra-universiti khas serta memperbanyak laluan akademik dan TVET yang bersesuaian dengan kekuatan pelajar tahfiz. Pendekatan ini penting agar agenda melahirkan profesional huffaz tidak kekal sebagai aspirasi dasar semata-mata.

Ketiga, universiti awam perlu diberi autonomi yang lebih jelas untuk membangunkan model kemasukan berasaskan bakat dan potensi, namun dalam kerangka akauntabiliti awam yang kukuh. Ini termasuk penggunaan penilaian holistik, program asas, kursus transisi, dan sokongan akademik bagi memastikan pelajar daripada laluan alternatif mampu menyesuaikan diri dengan keperluan universiti serta mencapai kejayaan akademik jangka panjang.

Akhir sekali, Malaysia perlu bergerak ke arah perancangan bakat nasional yang lebih bersepadu antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, JAKIM, agensi akreditasi, institusi pendidikan alternatif, dan pemain industri. Dalam era kecerdasan buatan, ekonomi digital dan perubahan struktur pekerjaan global, sistem pendidikan negara tidak lagi boleh beroperasi secara terpisah mengikut aliran masing-masing. Kejayaan dasar ini tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan berapa ramai pelajar berjaya memasuki universiti, tetapi sejauh mana sistem pendidikan negara berjaya mewujudkan mobiliti sosial dan memperluas pembangunan bakat negara.

Dalam ekonomi global yang semakin kompetitif, Malaysia tidak boleh terhad kepada satu saluran bakat sahaja.

Cabaran sebenar bukan memilih antara keterbukaan atau kawalan semata-mata, tetapi membina sistem pendidikan tinggi yang cukup inklusif untuk mengenal pasti potensi daripada pelbagai latar belakang, dan pada masa sama cukup tegas dalam mengekalkan standard demi masa depan negara.

Sumber

  1. Ahmad, N., & Yaacob, M. T. (2023). Sejarah dan perkembangan pendidikan tahfiz al-Quran di Malaysia (2nd ed.). Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
  2. Department of Islamic Development Malaysia. (2021). Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
  3. Department of Islamic Development Malaysia. (2023). Tafsiran variabel Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI): Sekolah agama, tahfiz dan pondok/madrasah. Bahagian Dasar Kemajuan Islam.
  4. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2021). Senarai tahfiz di Malaysia [Data set]. Malaysia Open Data Portal. https://archive.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-tahfiz-di-malaysia
  5. Kementerian Pendidikan Malaysia. (n.d.). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. https://www.moe.gov.my/dasarmenu/falsafah-pendidikan-kebangsaan
  6. Ministry of Higher Education Malaysia. (2026). Malaysia Higher Education Blueprint 2026–2035. Government of Malaysia. https://www.mohe.gov.my
  7. Ministry of Higher Education Malaysia. (2026). Kenyataan media: Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi.
  8. Ministry of Higher Education Malaysia. (2026, May). Kenyataan media: Laluan kemasukan pelajar UEC, tahfiz dan sekolah swasta ke universiti awam. Ministry of Higher Education Malaysia.
  9. Nik A. Rasid, N. N. L., & Mohamad Nasri, N. (2025). Conceptual framework for accelerated education program for tahfiz students in Malaysia. International Journal of Academic Research in Progressive Education and Development, 14(3), 1689–1703. https://doi.org/10.6007/IJARPED/v14-i3/26248
  10. The New Straits Times. (2026, May). Tahfiz, SMPC/UEC graduates now eligible to pursue studies at public universities. https://www.nst.com.my
  11. The Vibes. (2026). UEC recognition: More than meets the eye. https://www.thevibes.com/articles/education/42752/uec-recognition-more-than-meets-the-eye
  12. Bernama. (2025, December 21). Malaysia Tahfiz Recognition Standard to be implemented next year - Ahmad Zahid. https://www.bernama.com/en/news.php?id=2505049

Teks: Prof. Madya Dr. Thien Lei Mee, Pengarah, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM

  • Created on .
  • Hits: 290

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025