USM- XXMU JALIN KERJASAMA DALAM PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR
CHINA, November 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kluster Perubatan Regeneratif (KPR) , Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) dengan Xinxiang Medical University (XXMU), China bagi mengeratkan jalinan kerjasama dalam program pertukaran pelajar dan perkongsian penyeliaan pelajar Doktor Falsafah (PhD).
Menurut Ketua KPR merangkap penyelaras program ini, Dr Badrul Hisham Yahaya, XXMU merupakan sebuah universiti hospital awam antara yang terbesar di China. Menurutnya lagi, MoA ini memberi fokus utama dalam penyelidikan dan penyeliaan pelajar PhD dalam bidang utama KPR iaitu kajian sel stem.
“Dalam hasrat membangunkan bidang sel stem ini ke peringkat yang lebih jauh, jalinan kerjasama di antara XXMU dan IPPT merupakan langkah yang strategik dalam pengantarabangsaan IPPT,” kata Dr. Badrul.
Ini sudah tentu memberikan kelebihan untuk USM terutamanya IPPT dalam meningkatkan sasaran menerima pelajar antarabangsa sebagai calon PhD dan kelebihan kepada pelajar ialah mereka akan menjalankan penyelidikan di XXMU untuk beberapa tempoh waktu tertentu yang mana ianya sudah tentu memberi pendedahan yang meluas kepada mereka.
Perjanjian MoA tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah IPPT, Profesor Dr Abdul Aziz Tajuddin yang mewakili Naib Canselor USM. Turut hadir ialah Timbalan Presiden XXMU Profesor Dr Zhikun Goa, Pengarah Jabatan Sains dan Teknologi XXMU Profesor Dr Wuling Zhu, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Antarabangsa Profesor Zhen Chen, Pengarah Jabatan Pengajian Siswazah Profesor Huigen Feng dan Timbalan Pengarah Kolej Sains Hayat an Teknologi Profesor Dr Juntang Lin.
Menurut Abdul Aziz, langkah yang diambil ini amat strategik di mana setiap pelajar yang mengikuti program ini samada calon PhD daripada China atau tempatan, akan berdaftar di IPPT,USM dan pensyarah di IPPT akan menjadi penyelia utama dan pensyarah di XXMU akan bertindak sebagai penyelia bersama.
Penyelaras program di XXMU, Profesor Juntang berkata, pihak XXMU amat berbesar hati menerima pelawaan jalinan kerjasama dengan IPPT dan memandang USM sebagai sebuah universiti yang mempunyai reputasi yang tinggi di China.
“USM tersenarai sebagai sebuah universiti terbaik di Asia, dan USM merupakan universiti pertama di Asia yang telah menandatangani MoA dengan kami dan ini memberikan kelebihan kepada XXMU dalam meneroka lebih banyak jalinan kerjasama dengan USM dalam bidang yang lebih luas,” kata Profesor Dr Zhikun.
Semua ahli delegasi telah dibawa melawat beberapa makmal dan kemudahan di XXMU dan Touren Medical iaitu sebuah pembuatan alatan perubatan (medical devices) bagi melihat sendiri beberapa alatan yang dicipta untuk tujuan kegunaan dalam bidang perubatan.
Hasil lawatan ini akan membuka peluang kepada tenaga pakar inovasi IPPT dan USM bagi merealisasikan idea inovasi mereka ke peringkat produk untuk tujuan pasaran yang mana pihak kilang mampu menterjemahkan idea-idea inovasi kepada peralatan perubatan yang mengikut piawaian antarabangsa dengan harga yang jauh lebih murah. Ehsan IPPT
- Created on .
- Hits: 1279