SISTEM DASHBOARD INTERAKTIF USM PERKASA PEMANTAUAN PROJEK EKONOMI MADANI KEMENTERIAN PERTAHANAN

KLUANG, JOHOR, 16 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuktikan kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi menerusi pembangunan Sistem Dashboard Program Ekonomi MADANI ATM.
Platform digital ini merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu agenda pembangunan ekonomi negara.
Sistem inovatif ini menjadi tumpuan utama sempena Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Kem 5 RAMD, di sini.
Keupayaan sistem ini turut mendapat perhatian apabila pasukan penyelidik USM berpeluang mempamerkan fungsi dashboard tersebut dan berinteraksi secara langsung bersama Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, yang menzahirkan keyakinan terhadap potensi sistem ini dalam memperkasakan pengurusan data Projek Ekonomi MADANI.

Transformasi Pemantauan Secara Digital
Projek ini mencerminkan keberkesanan kolaborasi rentas kementerian, apabila kepakaran akademik dan penyelidikan di bawah KPT disinergikan dengan keperluan strategik MINDEF.
Dashboard interaktif ini dibangunkan oleh pasukan penyelidik daripada Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSKOMP) dan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM sebagai platform berpusat bagi memantau pelaksanaan projek Ekonomi MADANI yang dijalankan di kem-kem tentera di seluruh negara.
Melalui integrasi data secara masa nyata (real-time), sistem ini membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap pelaksanaan pelbagai projek, termasuk projek madu kelulut, halia Bentong, fertigasi sayuran, dan cendawan tiram.
Menerusi visualisasi data yang dinamik, pihak pengurusan MINDEF kini dapat menilai prestasi pengeluaran, status kemajuan projek serta laporan daripada setiap kem secara pantas dan sistematik, sekali gus mempermudah proses pembuatan keputusan strategik.
Kejayaan pembangunan sistem ini merupakan hasil kepakaran dan dedikasi pasukan penyelidik USM yang terdiri daripada Ts. Dr. Noor Farizah Ibrahim, Ts. Dr. Mohd Heikal Husin dan Dr. Noratikah Nordin.
Kolaborasi ini turut diperkukuhkan melalui sokongan strategik daripada Nurazmin Afza Nasaruddin dan Hakimi Arshat dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
Transformasi daripada kaedah pemantauan manual kepada dashboard interaktif ini memastikan setiap peruntukan dan usaha dalam Program Ekonomi MADANI dapat dipantau secara lebih telus, cekap dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh pengurusan data negara, malah turut mengangkat nama USM sebagai peneraju inovasi digital di peringkat nasional.
Teks: Dr. Noratikah Nordin, Pusat Pengajian Komunikasi, USM/Suntingan: Dr. Miharaini Md Ghani, Editor Media Arus Perdana@MPRC/ Foto: Ts. Dr. Noor Farizah Ibrahim & Ts. Dr. Mohd Heikal Husin, Pusat Pengajian Sains Komputer, USM
- Created on .
- Hits: 179