USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENGKEL PEMERKASAAN TTO IPT ZON UTARA PERKUKUH EKOSISTEM HARTA INTELEK NEGARA

IMG 3870

USM PULAU PINANG, 12 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Inovasi dan Perundingan (PIP) hari ini bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam menganjurkan Program Pemerkasaan, Pejabat Pemindahan Teknologi, Institut Pengajian Tinggi, Zon Utara di Sains@USM.

Program berkenaan dianjurkan khas bagi meningkatkan kemahiran Pejabat Pemindahan Teknologi atau lebih dikenali sebagai 'Technology Transfer Office' (TTO) dalam memperkukuh ekosistem pengkomersialan harta intelek negara.

IMG 3871

Hadir merasmikan program ialah Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff.

Yusnieza dalam ucapannya berkata, program ini dirangka bukan sekadar untuk meningkatkan kefahaman teknikal berkaitan harta intelek, tetapi juga untuk memperkukuh pemikiran strategik dalam kalangan peserta mengenai bagaimana harta intelek dapat dimanfaatkan sebagai instrumen pertumbuhan institusi dan negara.

“Kolaborasi bersama universiti, pusat penyelidikan dan TTO amat penting. Kita perlu membina ekosistem yang saling melengkapi, di mana akademia menghasilkan idea dan teknologi, industri menyediakan laluan pasaran, manakala agensi kerajaan memperkukuh dasar serta sokongan strategik,” katanya.

IMG 3872

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab dalam ucapannya pula berkata, kerjasama antara USM dan MyIPO bukanlah sesuatu yang baharu, malah hubungan erat tersebut amat penting dalam membantu universiti memperkukuh kesedaran, kapasiti dan keupayaan berkaitan pengurusan harta intelek.

Tambah beliau, setiap tahun pihak MyIPO akan membantu para penyelidik universiti melalui bengkel penulisan kendiri paten yang memberi pendedahan tentang kepentingan perlindungan paten terhadap teknologi perintis yang berjaya dibangunkan oleh USM.

“Saya percaya, kerjasama dan sokongan MyIPO ini bukan sahaja memberi manfaat kepada USM, tetapi juga kepada semua universiti, industri dan organisasi yang hadir pada hari ini,” katanya lagi.

IMG 3873

Turut diadakan dalam program tersebut ialah sesi perkongsian mengenai 'patent searching', 'freedom to operate', penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam analisis paten, forum kolaborasi industri-universiti serta pengenalan kepada 'patent analytics' kepada para peserta.

Program ini turut menawarkan Klinik Patent2U yang menyaksikan MyIPO menyediakan lima kaunter khidmat nasihat yang dikendalikan oleh pegawai pemeriksa paten MyIPO, dengan sebanyak 41 permohonan sesi konsultasi diterima setakat ini.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah (Komersial) MyIPO, Dr. Kamarul Faizal Hashim; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MyIPO, Razhuan Hussin; Pengarah PIP USM, Profesor Dr. Mohd. Hazwan Hussin, pegawai-pegawai utama USM dan MyIPO.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Pusat Inovasi dan Perundingan (PIP), USM

  • Created on .
  • Hits: 268

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025