USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KIKIS STIGMA TERHADAP MANGSA HIV/AIDS

7-2711136-271113

PULAU PINANG, 27 Nov. 2013 – Masyarakat perlu memahami dengan jelas cara jangkitan penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) dan juga Human Immunodeficiency Virus (HIV) bagi mengikis stigma dan diskriminasi terhadap epidemik tersebut.

Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, diskriminasi dan pandangan negatif terhadap AIDS dan HIV berlaku disebabkan penularannya kerap dikaitkan dengan gejala tidak bermoral.

Katanya, penyakit membawa maut tersebut menjangkiti manusia melalui beberapa cara termasuk penggunaan dadah secara suntikan dan perhubungan seks rambang dan amalan seks sejenis.

 

``Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa masih terdapat ramai yang menjadi mangsa kepada epidemik ini tanpa terlibat dengan perbuatan berisiko dan tidak bermoral.

``Antaranya, golongan wanita, remaja dan kanak-kanak yang kerapkali menjadi mangsa akibat perbuatan berisiko ahli keluarga yang lain. Walau bagaimanapun, golongan ini tetap menerima stigma dan diskriminasi yang sama daripada masyarakat kerana hidup dengan HIV/AIDS,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Minggu Kempen Kesedaran HIV/AIDS Peringkat USM Sempena Hari AIDS Sedunia 2013 di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin dan Konvenor AIDS Action Research Group, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Prof Madya Dr. Azlinda Azman.

Tambah beliau, menyedari hakikat terhadap stigma dan diskriminasi itu, minggu kesedaran HIV/AIDS yang bertemakan “Spread the Message, Not The Virus” diadakan bagi memberi pendedahan dan pengetahuan yang tepat serta meluas kepada masyarakat berkenaan epidemik itu.

Katanya lagi, USM merupakan institusi yang dilihat dapat memainkan peranan dalam penyebaran maklumat yang betul kepada golongan remaja atau belia yang merupakan tunjang generasi negara seterusnya.  

``Masyarakat khususnya warga kampus dan sekitarnya perlu jelas dengan  penyakit dan corak penangan HIV/AIDS, bagaimana ia berjangkit dan keperluan memberi dorongan dan sokongan kepada pesakit.

``Dengan maklumat yang betul tentang HIV/AIDS, masyarakat akan dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap golongan ini. 

``USM juga berharap melalui program seumpama ini dapat menyebarkan informasi kepada masyarakat kampus dan luar akan sistem sokongan kesihatan yang merangkumi penjagaan rawatan dan pencegahan yang sedia ada dalam kampus,’’ katanya.

Dalam pada itu, Nurulain pula berkata, Pusat Sejahtera USM sentiasa bersikap terbuka dalam memberi bantuan dan sokongan kepada penghidap HIV/AIDS dalam kalangan warga kampus.

``Jika ada mana-mana pihak yang berisiko atau telah dijangkiti HIV/AIDS, sila tampil dan minta bantuan daripada Pusat Sejahtera termasuk dalam aspek rawatan dan sokongan moral,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1751

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024