USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM–PDRM METERAI MoA PERKUKUH LATIHAN, PENYELIDIKAN DAN INOVASI SAINS FORENSIK BERTERASKAN “LIVING LAB”

IMG 20260512 WA0203

KUALA LUMPUR, 12 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan industri melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kerajaan Malaysia yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkasa pelaksanaan Program Sarjana Muda Sains Forensik serta memperkukuh ekosistem latihan dan penyelidikan forensik negara.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) itu dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri YB. Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Haji Nasarah dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Tuan Adam Adli Abd Halim. PDRM diwakili oleh Ketua Polis Negara, YDH IG Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail manakala USM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

IMG 20260512 WA0198

Kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM dan PDRM model kolaborasi akademik–agensi penguatkuasaan yang signifikan dalam pembangunan pendidikan serta kepakaran sains forensik negara.

Melalui kerjasama tersebut, pelajar Program Sarjana Muda Sains Forensik USM berpeluang menjalani latihan praktikum di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras pada semester akhir pengajian mereka.

MoA ini memberi fokus kepada penyediaan fasiliti latihan di Maktab PDRM sebagai platform “living lab” bagi memperkukuh pengalaman pembelajaran autentik dalam bidang sains forensik. Pendekatan ini membolehkan pelajar didedahkan secara langsung kepada suasana kerja sebenar saintis forensik, prosedur siasatan saintifik serta standard profesional yang diamalkan oleh agensi penguatkuasaan.

IMG 20260512 WA0205

Di bawah perjanjian ini, PDRM akan menyediakan akses kepada premis, makmal forensik, kemudahan penginapan dan bilik kuliah tertakluk kepada garis panduan keselamatan dan peraturan semasa. PDRM juga akan bertindak sebagai penyelia bersama kepada pelajar USM melibatkan sehingga 40 orang pelajar bagi setiap sesi latihan praktikum.

699752701 1509095397923871 8912714708767904112 n

Selain aspek latihan praktikal, kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan penyelidikan forensik, penerbitan ilmiah, pertukaran data dan kepakaran serta penerokaan peluang geran penyelidikan secara bersama.

IMG 20260512 WA0263

USM juga memperuntukkan lima slot setiap tahun kepada Pegawai Kanan PDRM untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah di USM dalam bidang sains forensik, sains sosial, pengurusan dan komunikasi.

Kumpulan penyelidik dan pelajar pasca siswazah akan turut menghasilkan artikel yang bakal diterbitkan dalam jurnal berindeks, sekali gus membuktikan impak kerjasama akademik–industri terhadap pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi negara.

IMG 20260512 WA0185

USM akan berkerjasama dalam menanggung sebahagian kos latihan praktikum pelajarnya termasuk pembelian bahan kimia dan kit forensik bagi menyokong pelaksanaan latihan praktikum pelajar.

699779657 1509075847925826 5710861859575251141 n

Universiti juga komited memastikan pematuhan penuh terhadap segala prosedur keselamatan dan keperluan operasi yang ditetapkan oleh pihak PDRM sepanjang penggunaan fasiliti.

IMG 20260512 WA0128

Naib Canselor USM berkata, kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dengan keperluan industri, teknologi dan cabaran semasa negara.

“Kerjasama strategik antara USM dan PDRM ini merupakan contoh terbaik bagaimana institusi akademik dan agensi penguatkuasaan dapat berganding bahu membangunkan ekosistem pendidikan dan penyelidikan yang lebih dinamik, praktikal dan berimpak tinggi. Pendekatan ‘living lab’ yang diterapkan bukan sahaja memperkukuh kompetensi profesional pelajar, malah membantu melahirkan graduan yang benar-benar bersedia memenuhi keperluan industri dan negara,” katanya.

IMG 20260512 WA0115

Beliau turut menambah bahawa kerjasama jangka panjang tersebut mampu menyumbang kepada pencapaian kebolehpasaran graduan Program Sarjana Muda Sains Forensik USM yang melebihi 95 peratus, sama ada melanjutkan pengajian atau memasuki alam pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang, Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan sektor perbankan.

698737325 1509075804592497 9004982837876224467 n

Pemeteraian MoA ini sekali lagi mencerminkan komitmen kukuh USM dan PDRM dalam memperkasa pendidikan tinggi, penyelidikan serta pembangunan kepakaran forensik negara demi kepentingan masyarakat dan keselamatan negara.

Teks: Amyrulhan Azhari, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM

  • Created on .
  • Hits: 415

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025