USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TEROKAI PELUANG KERJASAMA PENGAJIAN TINGGI DI PAKISTAN

20131126 101308 resized

LAHORE, PAKISTAN, 27 November 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerokai peluang-peluang kerjasama baharu dengan institusi pengajian di Pakistan dengan menandatangani beberapa persefahaman untuk saling membantu dalam jangka panjang.

"Kita berharap untuk meneroka kerjasama yang lebih rapat dengan beberapa buah universiti di sini untuk sama ada membantu kita memperkasakan apa yang ada atau pun meneroka peluang baharu untuk meneruskan apa yang kita lakukan selama ini," kata Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman setelah menandatangani  Memorandum Persefahaman dengan the University of Lahore (UoL), sebuah universiti swasta yang dibangunkan melalui dana yayasan dan menjadi antara yang paling berjaya di sini dari kedudukan dan pengiktirafan yang diterimanya.

Universiti tersebut ditubuhkan pada tahun 1999 melalui IBADAT Education Trust mempunyai hampir 14,000 orang pelajar yang menawarkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Sains Farmasi,  Sains Perubatan, Sains Pergigian, Sains Molekular, Biologi dan Bioteknologi serta beberapa kursus lain yang mempunyai tiga kampus di Pakistan di samping mempunyai penerbitan televisyennya sendiri.

Pada masa ini, UoL mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai universiti ternama dunia seperti Cambridge University UK, Imperial College London, Western Michigan Uhiversity USA, Yeditep University Istanbul serta beberapa buah universiti di Iran, Turki dan Afrika.

20131126 110753-1 resized

"Kami ingin memastikan UoL sentiasa menjalin hubungan rapat dengan pelbagai institusi pengajian tinggi bukan sahaja di Pakistan dan Barat tetapi juga dengan negara-negara Islam lain termasuk Malaysia," kata Penaung IBADAT Education Trust UoL, M.A Raoof.

Persefahaman yang ditandatangani ini adalah untuk kedua-dua pihak bekerjasama dalam pertukaran kepakaran kakitangan dan pelajar, penawaran program pengajian, penyelidikan dan libat sama komuniti dalam jangka panjang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi UoL, Awais Raoof, Naib Canselor UoL Profesor Dr. M.H Qazi, Rektor UoL Profesor Dr. M. Saleem Shuja, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Konsul General Kehormat Pakistan Di Pulau Pinang Dato' Abdul Rafique Karim.

Abdul Rafique Karim menyifatkan Pakistan sebagai peluang dan pasaran yang belum diterokai sepenuhnya oleh Malaysia terutamanya dalam pengajian tinggi.

5-271113

Beliau yang turut sama dalam lawatan kerja Naib Canselor USM itu berkata, peluang terbuka luas untuk membawa pelajar Pakistan mengikuti pengajian di Malaysia dan sebaliknya juga dari Malaysia ke Pakistan seperti yang dilakukan oleh USM di India.

"Jumlah pelajar Pakistan di Malaysia sekarang menjangkau hampir 2,000 orang yang sepatutnya dipertingkatkan lagi melalui kerjasama yang ada, terutamanya terdapat begitu ramai dalam kalangan rakyat Pakistan yang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke seberang laut," kata Abdul Rafique.

Delegasi USM juga turut mengunjungi National College of Arts Lahore (NCA) yang bermula sebagai the Mayo School of Arts pada tahun 1875 untuk mendidik rakyat negara tersebut dalam memperkasakan seni dan budaya mereka dan memastikan kelestariannya.

Menurut Pengetuanya, Profesor Dr. Mustaza Jafri, NCA menawarkan pengajian untuk mengeluarkan para sarjana yang berupaya mendidik dan menjadi arkitek terkemuka, artis dan pereka yang dapat memberikan karya dan sumbangan mereka kepada dunia.

Dalam perjumpaan yang diadakan itu, USM dan NCA bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam memperkenalkan seni, budaya dan warisan dari kedua-dua buah negara untuk dinikmati bersama terutamanya di Malaysia.

"Kita mempelawa mereka menghantar kepakaran ke USM dan dari USM ke NCA untuk berkongsi bersama-sama pelajar dan masyarakat setempat termasuk mengadakan pameran dan persembahan di Pulau Pinang dalam satu jangka masa yang akan ditetapkan kemudian," kata Omar.

Omar dan delegasi USM kemudian dibawa melawat kampus NCA yang terletak dalam bangunan berusia lebih 130 tahun itu sambil melihat hasil kerja para pelajarnya.

"Saya kagum dengan NCA yang bukan sahaja berupaya mempertahankan kelestarian seni dan budaya Pakistan, tetapi kelangsungannya yang hanya ditanggung secara minimal oleh kerajaan Pakistan dan keupayaan mereka memanfaatkan setiap ruang yang ada untuk menghasilkan hasil kerja yang mengkagumkan," kata Omar.

4-271113

NCA menawarkan pengajian dalam bidang Pengajian Komunikasi, Integrasi Media dan Budaya, Seni Bina, Rekabentuk, Rekabentuk Produk, Muzik, Filem fan Televisyen serta Pemuliharaan Warisan dan Muzium. - Teks dan Foto: Mohamad Abdullah

 

  • Created on .
  • Hits: 1086

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024