JABATAN KECEMASAN HPUSM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA 96 HOSPITAL ANGKATAN TENTERA LUMUT

USM PULAU PINANG, 8 Mei 2026 – Delegasi Jabatan Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) meneroka peluang kerjasama strategik bersama 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Lumut melalui satu lawatan kerja di sana baru-baru ini.
Lawatan khas yang diketuai wakil Pengarah HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohd Hashairi Fauzi itu antara lain bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perubatan kecemasan, pra-hospital dan perubatan hiperbarik.

Pelbagai pengisian telah dimuatkan dalam lawatan berkenaan, antaranya kunjungan hormat kepada Pegawai Memerintah 96 HAT Lumut, Brigadier Jeneral Dato' Pahlawan Dr. Musa Kasmin, yang turut meluangkan masa beramah-mesra bersama delegasi HPUSM.
Beliau dalam ucapannya turut menyatakan keterbukaan pihaknya terhadap sebarang bentuk kolaborasi pada masa hadapan.

Turut dimuatkan dalam rangka lawatan ialah pembentangan mengenai operasi dan latihan ketenteraan maritim ATM. Pembentangan ini memberikan gambaran menyeluruh tentang kesiapsiagaan pasukan perubatan tentera dalam mengendalikan kes kecemasan di persekitaran maritim, termasuk pengurusan kes berkaitan selaman.
Ia turut membuka ruang perbincangan dua hala berkaitan penambahbaikan modul latihan serta perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak.
Selain itu, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama dalam aspek latihan dan pembangunan anggota tentera, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan pra-hospital serta pengendalian kes kecemasan.
Kedua-dua pihak menyatakan minat untuk bekerjasama dalam merangka program latihan bersama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Lawatan turut disusuli dengan kunjungan ke Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik (IPBAH), di mana delegasi diberi pendedahan mengenai fasiliti hiperbarik yang tersedia serta penggunaannya dalam rawatan dan latihan.
Selain itu, delegasi juga berpeluang meninjau kemudahan lain di sekitar Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut yang menyokong operasi ketenteraan serta perubatan selam dan bawah air.

Mohd Hashairi Fauzi turut menzahirkan penghargaan kepada ATM yang sebelum ini menerima staf Jabatan Kecemasan HPUSM untuk menghadiri latihan ‘Diving Medical Officer’ yang mana sehingga hari ini, empat pakar serta pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan HPUSM telah berjaya menamatkan latihan berkenaan.
Perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak yang turut menjurus kepada potensi kerjasama dalam bidang perkhidmatan klinikal, pendidikan dan latihan serta penyelidikan, dilihat berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan amalan terbaik dalam perkhidmatan perubatan berkaitan.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Penyelaras Perkhidmatan Pra-Hospital, Dr. Mohd Faiz Mohd Shukri dan Pakar Perubatan Hiperbarik, Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy.

Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya membuka ruang ke arah kolaborasi yang lebih erat dan berpotensi memberi manfaat besar kepada pembangunan perkhidmatan perubatan di kedua-dua institusi.
Teks & Foto: Jabatan Kecemasan, Hospital Pakar USM, Kubang Kerian Kelantan.
- Created on .
- Hits: 95