AKTIVITI KOKURIKULUM TINGKAT DISIPLIN MAHASISWA
PULAU PINANG, 26 Nov.2013 – Penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum dilihat sebagai satu platform yang dapat meningkatkan disiplin mahasiswa seterusnya melatih mereka untuk bersedia meneraju negara pada masa hadapan.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa bersedia untuk melatih siswa-siswi dalam pelbagai aspek meliputi kepimpinan, keusahawanan, kemasyarakatan dan sebagainya.
Katanya, USM telah lama menerapkan aspek kepimpinan dan ketrampilan pelajar di luar bilik kuliah dan ia boleh dilihat dalam kesepaduan program kokurikulum yang ditawarkan di peringkat Universiti
``Disiplin menjadi prasyarat pemangkin kejayaan seseorang individu dan ia dapat dipupuk melalui penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum yang dijalankan, khususnya badan-badan beruniform yang secara prinsipnya sangat menekankan aspek disiplin.
``USM turut komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berintelektual tinggi, tetapi juga dilengkapi dengan pelbagai kemahiran untuk menjadi pemimpin yang dapat memberi sumbangan kepada bangsa dan negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Kokurikulum peringkat USM di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa merangkap Komanden Kehormat SUKSIS, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.
Omar juga berkata, bertepatan dengan tema pada tahun ini iaitu Kokurikulum Pemangkin Mahasiswa Berintegriti, USM berharap agar mahasiswanya dapat meneruskan kelangsungan disiplin mereka hingga ke alam pekerjaan di luar.
Sementara itu, program tahunan tersebut bertujuan menghimpunkan semua kursus kokurikulum berunit yang merangkumi badan beruniform, rancangan khidmat komuniti, keusahawanan, sukan dan kebudayaan yang terdapat di USM.
Matlamat utama penganjuran adalah untuk menyebarkan maklumat mengenai pelbagai kursus yang ditawarkan secara lebih terperinci, selain turut mengukuhkan ukhwah dalam kalangan pelbagai badan beruniform dan persatuan yang terlibat.
Program yang turut dimeriahkan dengan pelbagai demonstrasi khusus melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan, keusahawanan dan sebagainya itu turut menjadi platform kepada siswa-siswi dalam menjana persekitaran pembelajaran lebih kondusif, efektif dan sistematik. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1837