PRN, DBP BANGUNKAN 17 BUKU KANAK-KANAK BERKAITAN TOKSIKOLOGI DAN KERACUNAN

USM PULAU PINANG, 8 Mei 2026 - Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal menerbitkan 17 buku kanak-kanak berkaitan bidang toksikologi dan keracunan bagi meningkatkan kesedaran awal dalam kalangan generasi muda.
Penerbitan buku ilmiah yang disampaikan dalam bentuk ringan dan mudah difahami itu kini berada pada peringkat akhir sebelum diterbitkan, selepas keseluruhan draf manuskrip selesai disemak menerusi Bengkel Pembangunan Manuskrip dan Papan Cerita Buku Kanak-Kanak yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengarah Pusat Racun Negara, Ts. Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman berkata, bengkel selama dua hari itu dianjurkan bagi menterjemahkan maklumat kompleks dalam bidang toksikologi kepada bentuk yang lebih mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata, seramai 17 penulis PRN bersama dua pelukis ilustrasi membentangkan 17 draf manuskrip yang merangkumi empat tema utama iaitu kerintangan antibiotik, keselamatan bahan kimia isi rumah, bahaya rokok elektronik, dan keselamatan makmal.
“Karya tersebut telah diteliti secara kritis dengan fokus bimbingan diberikan terhadap penggunaan laras bahasa yang tepat, struktur cerita yang menarik dan kesesuaian visual tanpa mengkompromikan fakta saintifik,” katanya.

Menurut beliau, naskhah khas itu disemak oleh tiga penyunting utama DBP yang diketuai Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Noriyani Yusoff.

“Para penulis kini giat melaksanakan proses pemurnian akhir selaras dengan garis panduan penerbitan kebangsaan.


“Usaha murni PRN dan DBP ini diyakini mampu menghasilkan naskhah pendidikan berkualiti tinggi dalam usaha memupuk kesedaran pencegahan keracunan dalam kalangan kanak-kanak di seluruh negara,” katanya lagi.
Teks & Foto: Pusat Racun Negara, USM
- Created on .
- Hits: 335