USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKA PELUANG DAN HARAPAN BAHARU: PENDAFTAR USM TURUN PADANG PERKASA BAKAT STAF OKU

Unknown 6

USM PULAU PINANG, 7 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh budaya kepimpinan berteraskan ihsan dan inklusiviti apabila golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di universiti itu terus disantuni serta diberikan perhatian sewajarnya.

Menerusi inisiatif khas yang diperkenalkan Jabatan Pendaftar USM, program mendekati kumpulan minoriti kampus itu diwujudkan bagi memperkasa potensi serta meningkatkan kesejahteraan warga OKU di USM.

Unknown 11

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Pendaftar USM, Mohd Azizuddin Mohd Shariff turun padang bagi menyantuni warga OKU, selain mengadakan sesi pertemuan khas bersama beberapa kumpulan yang terlibat secara langsung dalam inisiatif berkenaan.

Mohd Azizuddin berkata, sesi berkenaan dibuat bagi membincangkan pendekatan kolaboratif universiti dalam menangani keperluan golongan istimewa secara menyeluruh, selain menjadi platform penting untuk memahami secara langsung keperluan, cabaran dan potensi staf OKU.

Unknown 8

“Dengan pendekatan inklusif dan berfokus, setiap warga USM berhak diberikan peluang yang adil untuk membina potensi diri, menyumbang serta mencapai kecemerlangan tanpa mengira kekangan yang dihadapi.

“Usaha ini turut menzahirkan komitmen berterusan USM dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan warga OKU. Pelbagai inisiatif strategik akan dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan tercicir selaras dengan aspirasi USM untuk menjadi universiti yang benar-benar inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.

Unknown 10

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah wakil kumpulan OKU, Nurul Husna Rahim; Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad; Pegawai Bahagian Sumber Manusia Kampus Induk, Sarina Razak; Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim; Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Prof. Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; serta Pengarah Pusat Transformasi Insan (PTI) Kampus Induk, Nurul Izzati Rozali.

Susulan perbincangan tersebut, beberapa inisiatif pembangunan bakat dirangka secara strategik oleh PTI USM bersama Pusat Transformasi OKU USM-MAIK Kampus Kesihatan.

Unknown 9

Sebagai langkah permulaan, Kursus Pemerkasaan Kemahiran Komputer telah dilaksanakan dari 26 hingga 30 April lalu bagi memperkukuh keupayaan digital staf terlibat seiring perkembangan digitalisasi semasa.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Eksekutif Kanan ICT Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Hafiyyan Lali, yang juga merupakan OKU penglihatan.

Unknown 7

Beliau telah menyampaikan kursus berkenaan secara praktikal, autentik dan penuh inspirasi serta berjaya menyuntik keyakinan dan semangat baharu kepada peserta OKU penglihatan yang menyertai program berkenaan.

Program itu bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal dan keyakinan diri peserta, malah memperkukuh imej USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengangkat nilai inklusiviti dan kemanusiaan.

Malah, ia turut membuktikan golongan OKU mampu menjadi penyumbang signifikan kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan universiti.

Teks dan Foto: Pusat Transformasi Insan, USM Kampus Induk

  • Created on .
  • Hits: 442

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025