USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DOMPET KETAT? RAKYAT DISARAN AMBIL LANGKAH BIJAK HADAPI TEKANAN EKONOMI

WhatsApp Image 2026 05 07 at 17.18.29

USM PULAU PINANG, 6 Mei 2026 — Dalam landskap kos sara hidup yang kian mencabar, rakyat Malaysia digesa mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin dan strategik bagi memastikan kestabilan isi rumah terus terpelihara.

Penyesuaian gaya hidup melalui perancangan rapi, disiplin perbelanjaan serta keutamaan terhadap keperluan asas mampu membantu masyarakat bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, malah menghadapi tekanan ekonomi dengan lebih yakin.

WhatsApp Image 2026 05 07 at 17.10.41

Pensyarah Kanan (Ekonomi) dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kenaikan harga minyak dan gas global ketika ini didorong oleh kejutan penawaran, susulan gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Asia Barat.

Menurut beliau, pasaran tenaga global kini bertindak balas terhadap risiko aliran bekalan melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan langsung kepada harga bahan api di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image 2026 05 07 at 17.08.06

“Di peringkat domestik, kenaikan harga gas memasak (LPG) sekitar RM14 setong bagi kegunaan komersial turut menambah tekanan kepada kos sara hidup. Kesan ini seterusnya mempengaruhi harga makanan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun kadar inflasi keseluruhan negara kekal sederhana sekitar 1.4 peratus setakat Februari 2026, tekanan sebenar lebih ketara dirasai oleh isi rumah, khususnya dalam perbelanjaan harian.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan situasi semasa sebagai fasa “berjaga-jaga ekonomi”, di mana peningkatan kos tenaga mencetuskan kesan berantai merentas pelbagai sektor.

Abdul Rais turut menegaskan bahawa kenaikan harga tenaga bukan lagi fenomena sementara, sebaliknya mencerminkan peralihan struktur ekonomi global daripada era tenaga murah kepada kos tenaga yang lebih tinggi dan tidak stabil.

“Masyarakat disaran mengambil pendekatan penyesuaian secara menyeluruh, termasuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan memberi fokus kepada keperluan asas serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga bagi mengurangkan pembaziran.

“Pendekatan kolektif seperti perkongsian kenderaan, pembelian secara pukal dan perancangan penggunaan sumber secara efisien dilihat mampu membantu mengawal perbelanjaan dalam jangka panjang,” tegasnya.

Dalam masa sama ujarnya, pengukuhan kedudukan kewangan peribadi perlu diberi perhatian serius melalui pembinaan tabung kecemasan dan pengurusan hutang secara berhemah bagi meningkatkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Perubahan landskap ekonomi ini menuntut anjakan minda dalam kalangan masyarakat agar lebih bersedia menghadapi realiti baharu yang semakin mencabar, sekali gus memastikan kesejahteraan kewangan isi rumah kekal terjamin,” tambah beliau.

Abdul Rais turut berkongsi beberapa lagi inisiatif kendiri yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat untuk mula merancang perbelanjaan berhemah dan bijak. Ikuti langkah mudah seperti di bawah:

5 tip praktikal mengurus perbelanjaan berhemah!

1. UTAMAKAN KEPERLUAN, BUKAN KEHENDAK
Bezakan perbelanjaan penting (makan, sewa, bil) dengan kehendak (gajet, hiburan). Biasakan tanya diri: “Perlu atau sekadar mahu?”

2. AMALKAN BAJET BULANAN YANG JELAS
Tetapkan had perbelanjaan setiap bulan. Kaedah mudah seperti 50-30-20 (keperluan-kehendak-simpanan) boleh membantu mengawal aliran wang.

3. SIMPAN WALAUPUN SEDIKIT, NAMUN KONSISTEN
Wujudkan tabung kecemasan sekurang-kurangnya 3–6 bulan perbelanjaan. Mulakan dengan jumlah kecil; yang penting konsisten.

4. KAWAL HUTANG DAN ELAKKAN ‘HUTANG EMOSI’
Jangan berbelanja dan berhutang semata-mata mengikut trend atau tekanan sosial. Pastikan komitmen hutang tidak melebihi kemampuan bayar.

5. KURANGKAN PEMBAZIRAN HARIAN
Perkara kecil seperti makan di luar terlalu kerap, pembaziran elektrik atau langganan yang tidak digunakan boleh menjejaskan kewangan dalam jangka panjang.

Jika diamalkan secara konsisten, langkah-langkah ini boleh membantu membina kestabilan kewangan dan mengelakkan tekanan apabila kos hidup semakin meningkat.

Teks: Marziana Mohamed Alias 

 

  • Created on .
  • Hits: 344

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025