KUNJUNGAN HORMAT DUA BUAH UNIVERSITI INDONESIA
PULAU PINANG, 25 November 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menerima kunjungan hormat oleh Rektor Universitas Bung Hatta, Sumatera Barat Profesor Dr. Niki Lukviarman dan Dekan dan Wakil Dekan I, Fakultas Ekonomi Universitas Andalas Padang, Prof. Tafdil Husni dan Dr. Harif Amali Rivai hari ini bagi membincangkan kerjasama masa hadapan dengan lebih erat lagi antara ketiga-tiga buah universiti tersebut terutamanya dalam bidang penyelidikan.
Niki berkata, USM mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang penyelidikan marin yang boleh dimanfaatkan bersama dan diaplikasikan di kedua-dua buah negara. Beliau juga ada menjemput 12 buah universiti untuk bekerjasama untuk menjalankan penyelidikan marin Lautan Hindi dan salah sebuah universiti tersebut adalah USM.
Tafdil yang juga alumni USM graduasi tahun 2006 pula telah berbincang dengan wakil dari Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) USM bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua buah universiti serta perancangan untuk program pertukaran staf dan pelajar.
Omar menyambut baik cadangan dan berpendapat bahawa jalinan kerjasama ini patut dieratkan lagi bagi manfaat dan juga kebaikan ketiga-tiga buah universiti tersebut.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan Pengarah Jaringan Komuniti, Syed Yusof Syed Kechik.
Selepas itu, mereka melawat pusat pengajian bidang penyelidikan masing-masing iaitu PPP dan juga Pusat Pengajian Sains Kajihayat. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1009