USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JALINAN MESRA SEKRETARIAT RAKAN MUDA USM PERKUKUH EMPATI, BAWA SINAR KEGEMBIRAAN BUAT WARGA EMAS

USM PULAU PINANG, 2 Mei 2026 – Dalam usaha memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen keprihatinan sosial, pelbagai inisiatif kesukarelawanan dan kemasyarakatan terus digerakkan secara aktif bagi menyemai nilai empati dalam masyarakat.

Program berteraskan komuniti ini bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara mahasiswa dan masyarakat, malah berperanan penting dalam memupuk nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kepekaan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya warga emas termasuk kalangan orang kurang upaya (OKU).

Sejajar dengan hasrat tersebut, Sekretariat Rakan Muda Universiti Sains Malaysia (SRMUSM) dengan penglibatan seramai 52 orang Majlis Tertinggi dan Exco telah menganjurkan Program Rakan Prihatin: Jalinan Mesra yang berlangsung di Pusat Jagaan Gemilang, Sungai Petani, Kedah pada 30 April lalu.

Program tersebut melibatkan kira-kira 20 orang warga emas yang terdiri daripada golongan berusia serta OKU, mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka bagi mengeratkan hubungan dan menceriakan suasana di pusat jagaan tersebut.

Dipimpin oleh Pengarah Projek, Nur Anis Syahirah Khairul Nizam, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif dan santai seperti “Senyum dan Sasar”, iaitu permainan membaling bola ke dalam sasaran bagi mencetuskan keceriaan, serta “Memory Blast”, yang melibatkan aktiviti menulis dan melukis secara bersama bagi merangsang memori dan interaksi.

Selain itu, sesi beramah mesra turut diadakan, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa dan warga emas untuk berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang lebih dekat.

Turut hadir memberikan bimbingan ialah Penasihat SRMUSM, Tuan Salman Tuan Mohd Jaffar, bersama Mohd Amar Aiman selaku pengurus.

Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen dalam menyokong penganjuran program tersebut, yang bertujuan memperkukuh sokongan emosi kepada para penghuni dan menggalakkan suasana kebersamaan yang lebih positif.

Salman berkata, “Melalui pelaksanaan program tersebut, para peserta bukan sahaja berpeluang menyumbang kepada masyarakat, malah turut didedahkan kepada realiti kehidupan warga emas, sekali gus memupuk nilai empati, semangat kesukarelawanan, dan rasa tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa.”

Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong agenda H.E.B.A.T USM melalui penglibatan aktif dalam khidmat komuniti, di samping mengangkat aspirasi S4S khususnya dalam perkhidmatan sosial, yang menekankan kepentingan keprihatinan, kesejahteraan komuniti, dan usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Teks & Foto: Sekretariat Rakan Muda, USM/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM

  • Created on .
  • Hits: 48

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025