PENSYARAH USM CEMERLANG DI KUWAIT
PULAU PINANG, 26 Nov.2013 – Dua pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama Universiti dan juga negara apabila meraih dua pingat emas dalam 6th International Invention Fair in the Middle East (IIFME 2013) di Bandar Kuwait, baru-baru ini.
Kedua-dua mereka ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Hanafi Ismail dan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Chan Lai Keng.
Hanafi menggondol pingat emas melalui penyelidikannya, “OilZob- A Novel Oil Absorbent” manakala Lai Keng ungggul dengan inovasi yang bertajuk “ High Valued Products Using Plant Cell Culture Tank”, yang turut mendapat perhatian dan pujian pihak juri.
IIFME 2013 yang menjadi pertandingan rekacipta terbesar di Timur Tengah disertai oleh penyelidik daripada 19 buah negara antaranya United Kingdom, Rusia, Taiwan, Iran, Iraq, Romania, Arab Saudi, UAE , Qatar dan sebagainya.
Sebanyak 150 produk dipertandingkan dengan syarat penyertaan yang ketat di mana setiap produk perlu mempunyai paten. Penaung IIFME ini adalah Amir Kuwait, Sheik Sabah Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1109