TNC JIM USM TERIMA PANGKAT KEHORMAT LT KOLONEL PSSTUDM

NEGERI SEMBILAN, 5 Mei 2026 – Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlan Amran dilantik sebagai Leftenan Kolonel (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) dalam Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat PSSTUDM di Markas Tentera Udara Sendayan, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, dan diserikan keberangkatan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II yang juga Brigedier Jeneral (Kehormat) PSSTUDM.

Turut berkenan berangkat, Tengku Panglima Besar Selangor, Brigedier Jeneral (Kehormat) Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj PSSTUDM, selain kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tetamu diraja itu turut menyuntik semangat kepada pegawai dan kadet yang hadir serta mencerminkan nilai disiplin, dedikasi, dan jati diri dalam kalangan warga pertahanan.

Azlan ketika ditemui berkata, pelantikan itu bukan sekadar mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan kepimpinan individu, sebaliknya memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan angkatan pertahanan negara.

“Kerjasama strategik ini penting dalam menyokong pembangunan modal insan yang berdisiplin tinggi, berdaya saing, dan dapat menyumbang kepada keperluan pertahanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 71 pegawai kadet udara USM terlibat dalam menjayakan majlis penuh istiadat berkenaan, termasuk menjayakan demonstrasi latihan ketenteraan seperti merentas halangan, abseiling, rappelling, dan flying fox.
Kesemua demonstrasi itu mempamerkan tahap kesiapsiagaan, ketangkasan, dan komitmen tinggi pasukan kadet USM, selain mencerminkan keberkesanan latihan yang dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan.
Teks: Mohd Faizal Md Osman, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 138