KEPIMPINAN TRANSFORMASIONAL KUNCI PERUBAHAN
PULAU PINANG, 26 Nov. 2013 – Cabaran besar dalam melakukan transformasi organisasi adalah dalam aspek melahirkan pemimpin tranformasional yang berupaya merealisasikan perubahan yang diinginkan.
Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika mengulas faktor-faktor penting dalam menjayakan usaha transformasi dalam organisasi.
Katanya, Universiti berperanan dalam melahirlan pemimpin yang berupaya mentransformasikan seluruh organisasinya berteraskan kepada kemahiran tinggi, kreatif dan inovatif serta berpegang teguh kepada akauntabiliti serta integriti.
``Seseorang pemimpin juga perlu berupaya berkomunikasi dengan baik dan menjadi penghubung kepada staf pelaksana, selain berupaya membuat keputusan yang cepat dan menyeluruh,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Seminar yang disertai hamper 400 kakitangan sektor awam dari pelbagai jabatan itu dianjurkan secara bersama oleh Pusat Inovasi dan Produktiviti Perkhidmatan Awam (PIPPA) USM dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Tambahnya, dalam konteks pentadbiran awam, tanggungjawab mengurus, mentadbir dan memimpin dalam usaha menyampaikan perkhidmatan dan produk seiring dengan amanah yang dipikul penting untuk diberi tumpuan.
``Tidak kira sama ada kita di universiti, agensi dan organisasi, kita dibayar dari peruntukan awam dan perlu merealisasikan harapan banyak pihak untuk peningkatan kualiti hidup masyarakat dan orang ramai,’’ ujar beliau.
Tambahnya, penjawat awam yang bergelar pemimpin juga perlu menjaga akauntabilitinya agar tidak berlaku ketirisan sumber, penyelewengan, ketidakcekapan dan sebagainya.
``Dalam hal ini, seseorang penjawat awam terutamanya dalam kalangan pemimpin organisasi, bukan sahaja menguruskan sumber-sumber yang ada tetapi perlu memastikan sumber-sumber itu diuruskan dengan cekap dan berkesan.
``Dengan mengoptimumkan penggunaan sumber, kita perlu berusaha untuk memastikan setiap perbelanjaan setanding dengan output dihasilkan atau berupaya memberikan impak yang tinggi dalam mencapai matlamat organisasi,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 1227