USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM SINGGAH SANTAI KESEJAHTERAAN PERKASA KESEDARAN KESIHATAN MENTAL WARGA USM

Kesejahteraan mental 1

USM PULAU PINANG, 3 Mei 2026 – Program Singgah Santai Kesejahteraan yang diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan sebagai satu inisiatif yang signifikan ke arah memperkukuh kesejahteraan mental dan fizikal warga USM.

Program anjuran Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar USM melalui Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS) itu turut dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam mendepani isu berkaitan kesejahteraan mental.

Kesejahteraan mental 2

Program pada 27 April itu merupakan inisiatif jangkauan (outreach) Siri 1 yang julung kali diadakan di Jabatan Keselamatan USM dan akan dilaksanakan secara berperingkat di Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain dalam universiti.

Inisiatif tersebut juga selaras dengan saranan Pendaftar USM, Mohd. Azizuddin Mohd. Shariff, yang menekankan pendekatan inklusif dan menyeluruh dalam pembangunan kesejahteraan staf.

Kesejahteraan mental 3

Pelaksanaan program berkenaan dikendalikan oleh empat Pegawai Psikologi bersama staf UPKS dengan kerjasama Pusat Sejahtera USM, bertujuan mempromosikan perkhidmatan kaunseling staf serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga universiti.

Walaupun berdepan kekangan tugas hakiki, kehadiran staf Jabatan Keselamatan amat menggalakkan sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian.

Program itu turut mendapat sokongan pengurusan, termasuk kehadiran Pengarah Jabatan Keselamatan, Prabu Mogan.

Pelbagai pengisian santai dan interaktif dilaksanakan bagi menarik penglibatan peserta, antaranya perkongsian berkaitan perkhidmatan kaunseling staf dan kesedaran kesihatan mental.

Elemen pengetahuan turut diterapkan melalui kuiz interaktif menggunakan platform Kahoot dan Mentimeter yang berjaya mewujudkan suasana pembelajaran lebih dinamik dan menyeronokkan.

Selain itu, program berkenaan turut merangkumi saringan awal kesejahteraan mental melalui ujian 'Depression, Anxiety and Stress Scale (DASS)', di samping perkongsian teknik berkesan dalam menangani tekanan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Sebagai nilai tambah, kaunter pemeriksaan tekanan darah yang dikendalikan oleh Pusat Sejahtera USM turut disediakan bagi menyokong aspek kesejahteraan fizikal staf secara holistik.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat terus memperkukuh kesejahteraan mental dan fizikal warga USM secara menyeluruh, sekali gus menyokong pembentukan persekitaran kerja yang lebih sihat, positif, dan produktif.

Teks & Foto: Nur Amirah Asyikin Hasmizar, ​Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias  

  • Created on .
  • Hits: 107

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025