USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDEDAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT KEPADA ANAK ORANG ASLI

Raw00591Raw00769Raw00737Raw007153-2411132-2411131-241113


PERAK, 24 November 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) menganjurkan program komuniti bersama penduduk Orang Asli Tangkai Cermin (OATC), Perak dengan tujuan utama memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi maklumat dan juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan.

Kesemua OATC dibawa ke makmal komputer di Pusat Latihan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mengenali dunia teknologi maklumat seperti menggunakan internet untuk mencari bahan pembelajaran, media sosial dan melihat komponen komputer secara fizikal.

Menurut Zozanti, 14, beliau berasa sungguh teruja dan gembira dapat mengenali komputer dengan lebih terperinci.

“Di sekolah memang ada melihat komputer, tapi tidak berpeluang untuk menggunakan,” tambahnya.

Selain itu, aktiviti lain yang dijalankan ialah sukaneka moden dan tradisional, pertandingan mewarna, demonstrasi aktiviti harian OATC seperti menganyam tikar/bakul, menjerat binatang serta aktiviti penyelesaian masalah.

Program yang mensasarkan penyertaan pelbagai golongan umur dari kanak-kanak hingga golongan ibu bapa ini melibatkan seramai lebih kurang 225 OATC, 40 orang pelajar dan 25 orang staf PPSK dengan tema “Melakar IT Bersama Komuniti".

Golongan ibu bapa juga diberikan motivasi pendidikan oleh pensyarah yang berpengalaman mengenai kepentingan pendidikan supaya anak-anak OATC tidak tercicir serta dapat mengejar cita-cita mereka.

Bagi meningkatkan lagi motivasi pendidikan, tiga ketua keluarga dipilih sebagai Tokoh Keluarga Contoh iaitu Alang Uda, Anjang Johor serta Alang a/p Uda Kana. Mereka ini mempunyai anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading serta mendapat pekerjaan dan membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Program ini mencapai hasrat dan objektif sekaligus merealisasikan visi USM untuk membantu golongan terkebawah (bottom billion). Kerjasama dengan UiTM juga sangat penting dan harus dijalinkan dengan lebih erat lagi kerana kawasan kampung ini sangat berdekatan dengan UiTM,” kata Profesor Madya Dr. Baharin Belaton, Pensyarah PPSK merangkap penasihat program yang juga anak jati Tangkai Cermin.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Pengurus Multimedia Development Corporation, Mohd Redzuan Affandi Abd Rahim. Turut hadir ialah Ketua Projek, Dr. Zurinahni Zainol, Tok Batin Kampung Tangkai Cermin, Lan Pandak dan juga tok batin dari kampong sekitar. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2359

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024