USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR MAKMAL BERSEPADU, PERKUKUH EKOSISTEM PENYELIDIKAN

IMG 3102

USM PULAU PINANG, 30 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh kedudukan sebagai universiti penyelidikan terkemuka apabila melancarkan Makmal Bersepadu (iLab), inisiatif strategik yang meningkatkan kecekapan dan kualiti penyelidikan di kampus induk USM.

IMG 3103

Majlis tersebut turut meraikan kejayaan perolehan infrastruktur penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjumlah RM58 juta, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa agenda penyelidikan berimpak tinggi.

IMG 3104

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi pembelian dan penggantian peralatan penyelidikan, manakala RM3 juta lagi bagi pembangunan Makmal Bersepadu.

IMG 3105

Pada ucapan perasmian, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, Makmal Bersepadu ini merupakan langkah penting dalam mentransformasikan pendekatan pengurusan dan pelaksanaan penyelidikan universiti.

“Pembangunan Makmal Bersepadu ini merupakan inisiatif strategik berimpak tinggi yang mentransformasikan pendekatan pengendalian analisis dan pengujian ke arah sistem yang lebih berpusat, cekap, dan berstandard tinggi,” katanya.

IMG 3106

Abdul Rahman turut menegaskan bahawa kemudahan tersebut mampu meningkatkan keupayaan penyelidikan universiti dan memperkukuh reputasi USM di peringkat global.

“Pelaksanaan perolehan ini melibatkan 17 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dengan pelbagai kaedah termasuk tender dan sebut harga, dan 212 unit peralatan penyelidikan dengan nilai perbelanjaan sekitar RM51.34 juta,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, kemudahan ini dijangka memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti serta menyokong penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab menyifatkan Makmal Bersepadu sebagai platform penting dalam menyokong penyelidikan rentas disiplin.

“Makmal Bersepadu ini menyediakan kemudahan yang boleh dimanfaatkan secara bersama, sekali gus mengurangkan pertindihan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pengurusan peralatan,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa kemudahan ini membuka ruang kepada kolaborasi pelbagai bidang bagi menghasilkan penyelidikan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.

Majlis peluncuran ini diadakan bagi meraikan pelaksanaan Makmal Bersepadu sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti, di samping menghargai perolehan infrastruktur penyelidikan di bawah RMKe-12 yang menyokong kecemerlangan dan daya saing penyelidikan di Kampus Induk.

Dengan kemudahan terkini serta pengurusan yang lebih tersusun, iLab dijangka menjadi pemangkin kepada inovasi, penghasilan harta intelek serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik dengan industri dan rakan antarabangsa.

Turut hadir ke majlis ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Penyelaras Pejabat Pengurusan Makmal Berpusat, Ts. Rusidah Mat Yatim; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Mohd Salmi Ismail; serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Pejabat Pengurusan Makmal Berpusat, USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 190

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025