MANTAPKAN PERSATUAN DENGAN AKTIVITI BERMANFAAT
PULAU PINANG, 23 Nov. 2013 - Persatuan-persatuan di Universiti Sains Malaysia (USM) digesa untuk memantapkan pengisian dan program-program yang dianjurkan bagi memberi lebih nilai dan impak kepada pembangunan Universiti.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, persatuan-persatuan juga perlu meningkatkan hebahan bagi program-program anjuran mereka untuk menarik lebih banyak penyertaan baik daripada warga kampus atau masyarakat di luar.
Katanya, banyak program-program bermanfaat yang dianjurkan dalam kampus yang dilihat berupaya mendedahkan warga kampus dengan perkembangan semasa.
``Kesemua program yang dianjurkan perlu dihebahkan secara besar-besaran bagi menarik perhatian seramai mungkin warga kampus untuk turut serta, sekaligus memberi impak kepada objektif yang ingin ditetapkan.
``Setiap dari warga kampus juga diseru untuk turut melibatkan diri dengan program-program yang dianjurkan dan mendekatkan silaturrahim sesama kita walau sesibuk mana pun kita dengan tugasan seharian,’’ jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perhimpunan bulanan Naib Canselor bersama Warga Staf Bangunan Canselori bersama Persatuan Staf Islam USM di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Omar turut menasihatkan warga kampus supaya lebih berhemah dalam berbelanja pada musim cuti persekolahan, selain menjaga kesejahteraan dan keselamatan jika berhasrat untuk bercuti di mana sahaja.
``Seelok-eloknya rancanglah perjalanan dengan sebaik mungkin dan ambil kira setiap risiko yang bakal berlaku tidak kira di mana sahaja kita berada,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1176