PROGRAM ‘MEET AND GREET’ DAN KLINIK BOLA SEPAK BERSAMA MESUT ÖZIL RANCAKKAN SUASANA KAMPUS USM

USM PULAU PINANG, 29 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Pusat Sukan dan Rekreasi, telah menganjurkan Program ‘Meet and Greet’ serta Klinik Bola Sepak bersama legenda bola sepak antarabangsa, Mesut Özil, dalam satu penganjuran yang berjaya menghimpunkan warga kampus dan komuniti setempat.

Program dimulakan pada jam 3.15 petang di Stadium Hoki USM dengan sesi ‘Meet and Greet’ yang disertai kira-kira 500 peserta, merangkumi pelajar, staf Universiti, dan peminat bola sepak.

Sesi ini turut menampilkan forum interaktif yang dikendalikan oleh pengulas sukan Astro Arena, Zainal Abidin Rawop, yang mengemudi perbincangan secara tersusun dan berfokus.

Dalam sesi tersebut, Özil berkongsi perjalanan karier profesionalnya di peringkat tertinggi bola sepak dunia, termasuk pengalaman beraksi di pentas Eropah dan antarabangsa. Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, konsistensi, dan pembangunan bakat sejak usia muda sebagai asas kejayaan.

Selain itu, beliau berkongsi mengenai penubuhan akademi bola sepak di Istanbul, Türkiye, yang memberi peluang kepada kanak-kanak daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk mengembangkan potensi mereka dalam sukan.
Özil turut menyatakan penghargaan terhadap Malaysia, khususnya kepelbagaian budaya, keunikan makanan dan suasana masyarakat yang harmoni, yang menjadikan lawatan beliau satu pengalaman yang bermakna.

Program diteruskan dengan Klinik Bola Sepak yang melibatkan 140 kanak-kanak bawah 12 tahun dalam kalangan anak-anak staf USM.
Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung serta mempelajari asas kemahiran bola sepak dalam suasana latihan yang kondusif.

Pelaksanaan klinik ini turut disokong oleh pasukan USM FC, USMKK FC, dan Minden Tiger.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; serta Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik (Seksyen Sukan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Hanafiah Ayub.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, penganjuran program seumpama ini mencerminkan pendekatan universiti dalam memperluas pengalaman pembelajaran dan pengetahuan.
“Pendedahan secara langsung bersama tokoh bertaraf global seperti Mesut Özil memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan pelajar dan komuniti, khususnya dalam membentuk disiplin, daya tahan serta aspirasi ke arah kecemerlangan,” ujar beliau.
Penganjuran ini memperlihatkan keupayaan USM menghubungkan ikon sukan bertaraf global dengan pembangunan bakat akar umbi dalam satu ekosistem yang tersusun dan berimpak.
Kehadiran Özil memberikan pengalaman pembelajaran yang autentik dan bernilai tinggi, khususnya kepada peserta muda yang berpeluang melihat secara langsung standard, disiplin, dan pemikiran seorang pemain elit dunia.
Teks: Siti Salwa Suhaida Mohamad Ibrahim, Pusat Sukan dan Rekreasi, USM/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 135