WARISAN PERANAKAN MALAYSIA DIBERIKAN PERHATIAN
PULAU PINANG, 22 November 2013- Warisan peranakan Malaysia terutamanya Kelantan dan Pulau Pinang diberikan perhatian dan terus dijadikan kajian oleh ahli akademia bagi memastikan ianya terus dipelihara dan diketahui oleh penduduk masa hadapan.
“Peranakan ini adalah warisan-warisan hasil daripada perkahwinan pemuda-pemuda luar seperti Arab, India dan China dengan wanita tempatan,” berikut kata Timbalan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr. Zaharani Ahmad dalam ucaptama beliau sempena Seminar Antarabangsa Cina Peranakan yang telah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.
Hasil perkahwinan campur inilah terhasilnya Cina peranakan, jawi peranakan dan juga India peranakan.
Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr Omar Osman, warisan seperti ini harus terus dipelihara dan dikaji dengan lebih mendalam supaya ianya seperti kata pepatah ‘tak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas’.
“Seminar seperti ini juga penting kepada masyarakat untuk bersama-sama membangunkan kekuatan yang ditemui untuk mengukuhkan perpaduan dan ikatan, menjadi satu kesatuan yang kukuh untuk kelangsungan bangsa dan negara,” tambah beliau.
Seminar ini adalah anjuran bersama Desasiswa Fajar Harapan dengan DBP dan telah dihadiri oleh lebih 150 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan ilmuan. Selain pembentangan kertas kerja dan perkongsian pengalaman oleh tokoh peranakan turut diadakan persembahan joget peranakan Kelantan serta persembahan wayang kulit oleh Tokoh Budayawan Cina Peranakan Kelantan, Eyo Hock Seng.
Pengerusi Sekretariat Seminar Antarabangsa Cina Peranakan, Profesor Madya Pim Chau Dam berharap agar semua peserta akan memperolehi banyak pengalaman dan perkongsian yang berguna kepada kehidupan bermasyarakat agar keamanan dan keharmonian terus menjadi milik kita yang dapat dilestarikan buat selama-lamanya. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1148