USM, AKEPT HIMPUN PEMIMPIN MALAYSIA–TÜRKIYE DALAM PERTUKARAN KEPIMPINAN RENTAS BUDAYA

USM PULAU PINANG, 27 April 2026 – ‘Malaysia–Türkiye Leadership Programme: Navigating Change – Leadership Exchange Across Cultures’ yang berlangsung dari 27 hingga 30 April 2026 di Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM), telah berjaya menghimpunkan pemimpin kanan agensi kerajaan, ahli akademik dalam dan luar negara, serta delegasi dari Türkiye dan Malaysia.

Program anjuran bersama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan USM itu diterajui oleh Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon, sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan memperkasa pembangunan kepimpinan bertaraf global.

Forum utama program menampilkan Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama Mustafa Efe, Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa, Majlis Pendidikan Tinggi, Türkiye.
Perbincangan mereka memberi tumpuan kepada reformasi sektor awam dan tadbir urus baik dari perspektif kedua-dua negara, dengan penekanan terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, dan kecekapan dalam menghadapi cabaran sosioekonomi serta geopolitik semasa.

Program tersebut turut menampilkan barisan penceramah terkemuka dari Malaysia dan Türkiye, antaranya Profesor Dr. Atilla Arkan, Profesor Dr. Özcan Erkan Akgün, Büşra Buluş, dan Dr. Khairudin Aljunied. Turut menyumbang ialah Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Dr. Madhi Hasan, Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, dan Dr. Illisriyani Ismail.

Secara keseluruhan, program berkenaan berjaya memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye, selain menyediakan platform bermakna untuk pertukaran idea, pengalaman, dan amalan terbaik dalam kalangan pemimpin kedua-dua negara.
Inisiatif ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan kepimpinan yang lebih adaptif, inklusif, dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global masa hadapan.
Teks: Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, USM/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM
- Created on .
- Hits: 329