USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HUBUNGAN DUA HALA USM-USA DIPERKUKUH

221113-1

PULAU PINANG,  22 Nov. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (USA) melalui kolaborasi pintar yang sedia terjalin dengan pihak kedutaan negara tersebut di negara ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kerjasama USM dengan universiti-universiti di USA sejak ditubuhkan pada 1969 diharap dapat ditambahbaik, sekaligus memberi manfaat kepada pembangunan bidang ilmu secara lebih holistik.

221113-2

Katanya, USM telah membuat perancangan untuk sekali lagi menganjurkan Ambassador Summit pada tahun hadapan dan melaluinya perincian kepada program-program yang akan dijalankan secara bersama dengan USA akan dapat dibuat.

``Dalam usaha kita melebarkan sayap dengan rakan strategik luar negara, fokus utama mestilah berpaksikan kepada output yang dapat memberi manfaat kepada Menara Ilmu ini secara menyeluruh,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan rasmi dari Duta USA ke Malaysia, Joseph Yun di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Muhamad Jantan.

DSC 0152

DSC 0160

Omar juga berkata, USM akan turut menggunakan peluang kerjasama ini bagi meneroka potensi untuk mencontohi kemajuan yang dicapai oleh negara tersebut dalam pelbagai sektor khususnya dalam aliran pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, Joseph pula berkata, beliau komited untuk bersama-sama USM menambahbaik hubungan dua hala tersebut, khususnya bagi meningkatkan jumlah pertukaran pelajar termasuk dari negara ini ke USA dan sebaliknya.

``Hanya melalui pendidikan, kerjasama dua hala seumpama ini dapat dijalankan dengan persefahaman yang baik, selain menjadikan ikatan yang sedia terjalin menjadi lebih kukuh,’’ ujar beliau.

DSC 0186

Tambahnya, aliran pengambilan pelajar Malaysia ke USA bertambah setiap tahun dan statistik pada tahun 2012 menunjukkan kira-kira 6700 pelajar dari Malaysia menyambung pengajian mereka di negara ‘Uncle Sam’ tersebut.

Pun begitu, bilangan pelajar USA ke Malaysia adalah jauh lebih rendah iaitu secara anggarannya hanya berjumlah 100 orang.

Joseph turut menyumbang sejumlah 100 naskhah bacaan kesusasteraan klasik Amerika, antaranya The Lincoln Anthology, Mark Twain dan Henry Thoreau kepada Perpustakaan Hamzah Sendut USM.

``Bahan-bahan bacaan ini amat tinggi nilainya dan diharap warga USM dapat mengambil manfaat darinya,’’ ujarnya sambil berharap dalam tempoh tiga tahun akan datang lebih banyak program dapat dijalankan bersama USM. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa. 

  • Created on .
  • Hits: 961

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024