USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIPPA SOKONG AGENDA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM

181113-6

PULAU PINANG, 19 Nov. 2013 – Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM) komited dalam menjalin kolaborasi dan menyokong agenda transformasi perkhidmatan awam yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan ketika ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, penubuhan PIPPA selaras dengan usaha kerajaan memantapkan proses penyampaian penjawat awam berdasarkan kerangka-kerangka tertentu yang ditetapkan di peringkat nasional.

Katanya, USM bersedia menjalin kolaborasi dengan mana-mana agensi di bawah kerajaan untuk membantu menggembleng kepakaran yang ada untuk membawa institusi pengajian tinggi bersama-sama dengan perkhidmatan awam.

181113-7

``USM dengan kepakaran yang ada akan cuba menterjemahkan teori kepada realiti dan ini adalah aspek penting dalam proses transformasi sektor awam. Perkara ini akan dibuat melalui pengukuhan kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam sektor awam,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di sini semalam.

Turut hadir dalam program anjuran bersama PIPPA dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Dr. Ismail Alias, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Farizan Darus dan Pengarah INTAN, Dato’ Dr. Halim Man.

Tambah Omar, USM turut menyokong tiga teras utama transformasi sektor awam termasuk mencapai tadbir urus cemerlang, pengukuhan jaringan di pelbagai peringkat termasuk rakan strategik luar negara serta pemupukan budaya sayangkan negara.

Katanya, USM turut berharap dapat memanfaatkan kerjasamanya dengan pelbagai pihak di luar negara dalam membantu memacu agenda pembangunan modal insan dalam perkhidmatan awam Malaysia.

DSC 0881

``Kita juga berharap kerjasama dengan INTAN dapat dipertingkat pada masa depan meliputi aspek penganjuran program latihan, perkongsian sumber dan kemudahan latihan, penyelidikan dan penerbitan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Pengarah PIPPA, Dr. Musa Ali pula berkata, PIPPA telah menetapkan beberapa fokus penting bagi memberi impak terhadap kolaborasi yang dijalankan dengan INTAN termasuk menjayakan Penerbitan Buku Prosiding Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013.

Tambahnya, kerjasama itu turut berperanan sebagai platform untuk kedua-dua pihak menghasilkan output penambahbaikan sektor awam, termasuk bekerjasama dalam menerbitkan hasil penyelidikan INTAN-PIPPA di dalam JURNAL INTAN 2014, menjalankan penyelidikan INTAN-PIPPA dalam aspek kreativiti dan hubungannya dengan motivasi intrinsik dan sebagainya.

Sebanyak 37 kertas kerja dibentangkan dalam seminar ini merangkumi sembilan subtema termasuk kepimpinan dan inovasi, inovasi strategik, kreativiti di tempat kerja, tadbir urus dan inovasi, kreativiti dalam perspektif Islam, peranan dan sumbangan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan sebagainya. teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1456

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024