USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM SAINTIS MUDA CETUS MINAT PELAJAR DALAM SAINS

1-011113

BERTAM, 19 Nov. 2013 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inisiatif khas apabila memperkenalkan Program Saintis Muda yang bertujuan untuk menggalakkan minat pelajar mengikuti bidang sains.

Timbalan Pengarah Akademik IPPT, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid berkata, program unik tersebut turut berperanan dalam memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan bidang sains bagi mengharungi dunia maju di era globalisasi.

Katanya, para pelajar di peringkat persekolahan perlu diberikan pendedahan yang berterusan bagi meningkatkan minat mereka dalam bidang sains dan teknologi kerana ia adalah teras untuk menuju matlamat bergelar negara maju.

``Bidang ini amat penting pada hari ini dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah menyatakan bahawa pelajar aliran sains dan teknologi akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk di USM,’’ ujarnya.

Program Saintis Muda dianjurkan melalui Kluster Perubatan Integratif dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarkat (BJIM) IPPT dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

Program yang melibatkan penyertaan lebih 40 pelajar dari 20 buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang itu dipenuhi dengan aktiviti seperti sesi ceramah, lawatan ke makmal penyelidikan yang terdapat di IPPT serta didedahkan kepada pengalaman sebenar melakukan ujikaji  makmal berkaitan teknologi DNA dan Bioinformatik.

Melalui pengisian tersebut, para pelajar dapat merasai keghairahan untuk mempelajari sains seterusnya meneroka alam sains yang menyeronokkan serta penuh dengan cabaran dan ia diharap dapat mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar mendalami dunia sains.

Usaha serius IPPT untuk mencetus minat pelajar sekolah dalam bidang sains dan teknologi akan terus dijalankan, malah kajian terperinci terhadap keberkesanan program ini akan dilakukan untuk dijadikan asas kepada perancangan program seumpama ini di masa hadapan.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Dr. Jahangir Kamaldin, Pengerusi Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) IPPT, Encik Mohd Zakaria Zain, Penolong Pengarah Bimbingan & Kaunseling (Unit HEM), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dr. Lim Vuanghao Ketua Kluster Perubatan Integratif IPPT, Dr. Hasni Arsad dan Pengerusi Program Saintis Muda Sekolah-sekolah. Teks/Foto: Ehsan IPPT

  • Created on .
  • Hits: 1491

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024