USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENGKEL STRATEGI PENERBITAN USM 2026 PERKUKUH KUALITI DAN IMPAK PENYELIDIKAN UNIVERSITI

WhatsApp Image 2026 04 23 at 15.15.54

USM, PULAU PINANG, 23 April 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kualiti dan impak penyelidikan menerusi penganjuran Bengkel Strategi Penerbitan USM 2026 yang dilaksanakan secara bersiri, dengan penekanan kepada pemilihan saluran penerbitan berimpak tinggi dan berintegriti.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab berkata, kualiti penerbitan perlu sentiasa mengatasi kuantiti bagi memastikan hasil penyelidikan universiti kekal relevan serta memberi impak signifikan di peringkat global.

WhatsApp Image 2026 04 23 at 15.15.55

“Bengkel ini dianjurkan dengan matlamat untuk membantu komuniti akademik membuat pilihan yang lebih tepat, bijak dan strategik dalam menentukan saluran penerbitan,” katanya ketika merasmikan siri kedua bengkel itu baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung dalam dua siri, masing-masing pada awal dan pertengahan April lalu memberi tumpuan kepada pemantapan strategi penerbitan melalui pendekatan berasaskan data, termasuk pengenalpastian jurnal bereputasi mengikut bidang serta pemahaman terhadap metrik penilaian.

WhatsApp Image 2026 04 23 at 15.15.55 2

Habibah turut menegaskan, dalam konteks persaingan akademik global yang semakin mencabar, usaha memperkukuh penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi khususnya kategori Q1 dan Q2 dilihat mampu meningkatkan kadar sitasi dan keterlihatan penyelidikan.

“Ia sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan kedudukan USM dalam penarafan antarabangsa serta penilaian MyRA,” ujarnya lanjut.

WhatsApp Image 2026 04 23 at 15.15.55 1

Dalam pada itu, bengkel berkenaan turut menyokong usaha membanteras penerbitan dalam jurnal pemangsa dengan menyediakan panduan dan rujukan lebih jelas kepada warga akademik.

Peranan Perpustakaan sebagai rakan strategik universiti turut diperkasa, selari dengan perkembangan landskap penerbitan global ke arah akses terbuka.

WhatsApp Image 2026 04 23 at 15.15.55 3

Melalui pelaksanaan perjanjian transformatif (Transformative Agreement), kos penerbitan seperti Article Processing Charge (APC) dapat diurus secara lebih sistematik sekali gus mengurangkan beban kewangan penyelidik.

Siri kedua bengkel menyaksikan penglibatan aktif wakil pusat pengajian dan pusat kecemerlangan seluruh USM, yang menyumbang kepada penyelarasan keperluan penerbitan serta perkongsian kepakaran bidang secara lebih berfokus.

Hasil utama bengkel ini termasuk pembangunan set data dan rujukan jurnal komprehensif yang berpotensi menjadi asas kepada alat sokongan keputusan universiti dalam merangka strategi penerbitan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh kualiti, integriti dan keterlihatan penerbitan ilmiah, selaras dengan aspirasi untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.


Teks: Fujica Azura Fesal/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias

Foto: Pasukan Produksi PHS

  • Created on .
  • Hits: 57

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025