DIALOG BAJET RAKYAT 2027

PULAU PINANG, 19 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memperkasa suara mahasiswa apabila wakil pelajar diberi peluang menyertai Dialog Bajet Rakyat 2027, anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Penyertaan ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami dengan lebih dekat proses perancangan bajet serta tadbir urus bandar, di samping memberi ruang menyuarakan pandangan dan idea berkaitan keperluan masyarakat setempat.
Inisiatif ini juga mencerminkan peranan aktif belia dalam usaha perancangan pembangunan negeri serta memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Dalam sesi tersebut, pembentangan bajet dari kategori belia telah diwakili oleh dua pelajar USM iaitu Mohamad Nor Syazwan Zawawi (Majlis Belia Daerah Timur Laut) dan Farisha Adrina Mohd Shukri (Gabungan Anak Pulau Pinang/GAPP USM). Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah usaha memperkukuh pembangunan belia melalui program peningkatan kemahiran seperti kelas bahasa dan kemahiran digital, penambahbaikan sistem pengangkutan awam, penyediaan fasiliti mesra belia yang lebih inklusif serta menangani isu kekurangan parkir di kawasan tumpuan awam.
USM melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia akan terus menyokong penglibatan mahasiswa dalam platform strategik sebegini bagi memastikan suara belia terus didengari, sebagai usaha keterlibatan dan membina kefahaman tentang proses pembangunan negeri ke arah masa depan yang lebih mampan dan inklusif.
Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin / Foto: Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) USM
- Created on .
- Hits: 55