USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MODAL INSAN TONGGAK TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM

181113-9

PULAU PINANG, 18 Nov. 2013 -  Cabaran getir dan kritikal dalam mencorak masa depan sektor awam negara terletak pada penjanaan modal insan yang berfikiran dinamik serta berupaya menganjak paradigma ke arah lebih kreatif dan inovatif.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, kerangka transformasi mengambil kira keperluan penjawat awam dalam mempertingkatkan kemahiran, kompetensi dan pengetahuan untuk kekal kompetetif.

Justeru katanya, pengurusan sumber manusia (HR) perlu lebih fokus dan memberi keutamaan ke arah penjanaan modal insan berkualiti tinggi dan menangkis tanggapan yang kebiasaannya meletakkan fungsi HR hanya dalam aspek penyelengaraan semata-mata.

``Organisasi awam perlu lebih dinamik, mempunyai struktur yang optimum dan terbuka dan kesemuanya perlu digabungkan dan didukung oleh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cepat, tepat, proaktif dan responsif,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena merasmikan Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini anjuran bersama Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) dan INTAN.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Dr. Ismail Alias, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Farizan Darus dan Pengarah INTAN, Dato’ Dr. Halim Man.

Tambah Mohamad Zabidi, keupayaan setiap organisasi dalam perkhidmatan awam untuk menyerapkan peranan HR sebagai rakan strategik adalah kritikal dalam memastikan modal insan mendasari segala usaha inovasi.

Ujar beliau, transformasi bertujuan untuk memastikan perkhidmatan awam dapat berperanan dengan lebih cemerlang melalui jaringan kerja dan kolaborasi yang lebih strategik serta bersifat inklusif.

``Cabaran globalisasi dan liberalisasi turut mempengaruhi prestasi daya saing negara dan perkara ini menyebabkan kita perlu melihat semula peranan, strategi, program dan aktiviti sedia ada secara berterusan.

``Ia juga menuntut penjawat awam menjajarkan kepelbagaian bakat, peningkatan pengetahuan serta kemahiran modal insan bagi memastikan negara terus berdaya saing, selaras dengan anjakan ekonomi negara bersasaskan pengeluaran kepada pengetahuan (K-Ekonomi),’’ ujarnya.

Tambah beliau, kesemua usaha yang dijalankan bagi mendepani cabaran semasa dan merealisasikan matlamat transformasi perkhidmatan awam dirangkumkan di bawah lima teras strategik.

Katanya, ia termasuk mendaya-upayakan iaitu meningkatkan kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam, merekayasa (meningkatkan keupayaan dan memberi nafas baru kepada organisasi) dan merakyatkan iaitu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Tambahnya, teras keempat adalah merangkumkan iaitu memperluas jaringan kerja dan kolaborasi strategik dalam dan luar negara serta teras kelima membudayakan nilai iaitu membudayakan patriotisme, nilai-nilai murni dan integriti.

Mengulas penganjuran seminar tersebut, Omar pula berkata penubuhan PIPPA adalah satu strategi USM dalam menyokong agenda transformasi perkhidmatan awam yang sedang dijalankan oleh pihak kerajaan ketika ini.

Katanya, PIPPA turut berperanan dalam menterjemahkan konsep ‘ilmu untuk semua’ yang telah digarapkan oleh USM sejak dua tahun lepas, selaras dengan inisiatif USM melalui program perkongsian APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan).

Tambah beliau, konsep ‘ilmu untuk semua’ memberi makna bahawa pintu USM bukan sahaja terbuka untuk pendidikan formal, menjalankan penyelidikan ataupun penerbitan tetapi juga terbuka untuk program pembangunan profesional berterusan kepada pejawat awam di pelbagai peringkat.

``Dalam hal ini, dengan cabaran semasa dan agenda transformasi perkhidmatan awam, USM berpendapat program pembangunan profesional berterusan bukanlah lagi satu pilihan atau nilai tambah kepada penjawat awam.

``Sebaliknya ia menjadi satu keperluan untuk memastikan penjawat awam dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran yang bersesuain untuk berupaya mendokong agenda transformasi perkhidmatan awam,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2585

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024