USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELBAGAI PIHAK SAMBUT BAIK CADANGAN PERKASAKAN KEUSAHAWANAN USM DAN PENUBUHAN KAMPUS PENYELIDIKAN TEKNOLOGI, SAINS DAN KEUSAHAWANAN

DSC 6408

PULAU PINANG, 22 Januari 2015 - Pelbagai pihak menyambut baik cadangan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman semalam untuk memperkasakan program keusahawanan sebagai satu strategi dalam memacu kecemerlangan.

Pengarah Pejabat Pembangunan Pelajar, Dr. Nazarudin Zainon berkata usaha ini amat baik dalam memastikan sumber-sumber yang ada di universiti dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya terutamanya apabila menyentuh tentang keusahawanan kejuruteraan.

Naib Canselor semalam ketika menyampaikan Perutusan Tahunannya melalui Strategi Kecemerlangan Kejuruteraan meminta Kampus Kejuruteraan meningkatkan lagi visibilitinya dengan beberapa program yang akan berimpak dalam penyelidikan dan meningkatkan keupayaan dalam keusahawanan kejuruteraan.

“Kita sememangnya pernah mengadakan bengkel tentang perkara ini yang melibatkan pelajar malah merancang bengkel keusahawanan menyatukan semua penglibatan pelajar kejuruteraan dan perubatan bagi menggerakkan usaha tersebut yang akan dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata Nazarudin.

Pihaknya juga sedang merancang untuk menerokai peluang menjadi sekretariat keusahawanan pada peringkat ASEAN dan Asia Pasifik untuk meluaskan jaringan yang ada dengan  kumpul data yang perlu untuk dilancarkan pada tahun ini.

IMG 8087

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM Mohamad Shafiq Kamaruddin amat gembira dengan saranan Naib Canselor.

“Tentu sahaja sebagai seorang pelajar yang turut melibatkan diri dalam keusahawanan merasa amat gembira dengan penekanan ini kerana ia dapat mengukuhkan usaha yang dilakukan, namun universiti melalui jabatan-jabatan yang berkaitan terutamanya di Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar yang walau pun telah menyediakan pelbagai kemudahan dengan begitu baik namun perlu memantau, membantu dan bersungguh-sungguh dalam memastikan mereka yang terlibat dapat terus berbuat demikian termasuk juga dalam meningkatkan keupayaan pengurusan seperti akaun, motivasi dan sebagainya,” kata Mohamad Shafiq.

Mohamad Shafiq yang menjalankan perniagaan makanan di Desasiswa Tekun USM turut memaklumkan yang pihaknya akan mengadakan satu persidangan keusahawanan pelajar peringkat ASEAN pada hujung bulan Mac ini untuk meningkatkan jaringan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Dalam perutusannya kepada kira-kira 2,000 orang kakitangan semalam Naib Canselor USM menyatakan usaha untuk memperluaskan program keusahawanan kepada peringkat siswazah untuk meningkatkan keupayaan kebolehpasaran dengan menyediakan juga kemahiran keusahawanan kepada ahli akademik untuk tujuan pengkomersilan, pemindahan ilmu dan libatsama komuniti menerokai bidang keusahawanan baharu yang beteraskan kelestarian.

Program keusahawanan ini juga bertujuan untuk meningkatkan usaha  penjanaan kewangan universiti misalnya Keusahawanan Pasca Siswazah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan siswazah di peringkat Sarjana dan PhD untuk membudayakan keusahawanan dan mampu bergerak arah penjanaan ekonomi, keusahawanan dalam kalangan ahli akademik bertujuan untuk membudayakan keusahawanan berfokus dalam usaha meningkatkan keupayaan perundingan dan pengkomersilan dan keusahawanan hijau dalam kalangan prasiswazah yang berfokus untuk memastikan program keusahawanan USM berpaksikan kelestarian dan teknologi hijau.

Malah, USM juga akan memperkukuhkan program keusahawanan melalui Kampus Penyelidikan Teknologi, Sains dan Keusahawanan melalui Program Pembangunan Sains@USM dengan mengadakan program dan penubuhan USM Club, pembinaan I2U, memfokuskan kepada ‘Entrepreneurial Research Campus’, pembangunan kompleks penginapan, memperluaskan hubungan industri secara lebih berfokus serta transformasi Sains@USM kepada pengurusan integrasi yang memusatkan semua hal ehwal pentadbiran dan pengurusan serta pengurusan keusahawanan untuk menjimatkan tenaga kerja dan menjadikannya  lebih efisyen.

Sementara itu Pengerusi Rancangan Keusahawanan di Pusat Ko-Kurikulum, pensyarah kanan pengurusan perniagaan di Pusat Pengajian Pengurusan Mohd Shafie Ariffin berkata, penekanan ini adalah sangat baik dan telah lama dinantikan.

“Saranan ini sangat bernas dan saya telah lama mnengharapkan penekanan seperti ini dibuat malah  sedia memberikan bantuan dan sokongan namun yang penting ialah universiti perlu mempunyai pihak yang dapat benar-benar mengambil tindakan, mendorong dan memastikan usaha ini dapat direalisasikan segera apatah lagi dengan terdapat banyak produk dalam kalangan kakitangan akademik universiti untuk diketengahkan sama ada di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan mahupun Kampus Kesihatan dengan memastikan Universiti adakan pihak atau pemangkin yang dapat mendorong usaha ini supaya ini dapat digerakkan dengan lebih baik,” kata Mohd Shafie.

Tambahnya lagi, hal ini penting terutamanya apabila kita mengetengahkan usaha ini untuk komuniti yang memerlukan ‘quantum leap’, penggerak dan pemangkin, “stimulant”, fasilitator yang multidisiplin dan “cross boundary”.

Mohd Shafie juga adalah Ketua Projek Agenda Kritikal (CAP) Keusahawanan.

Menjelaskan tentang konsep keusahawanan hijau yang disebutkan oleh Naib Canselor, pensyarah perniagaan di Pusat Pengajian Pengurusan yang juga Penggawa Desasiswa Saujana Profesor Madya Dr. Mahmud Sabri Haron berkata, konsep ini dikenali juga sebagai keusahawanan eko (eco-prenur) dan keusawanan persekitaran.

“Saranan ini kena dengan masanya sesuai dengan generasi Y yang sedia membayar lebih untuk kelestarian alam pada masa hadapan serta membantu menjaga alam sekitar pada masa hadapan,” kata Mahmud.

Tambahnya lagi, keusahawanan hijau telah banyak dilakukan di dunia sekarang ini dalam semua aspek kehidupan termasuk menjadikannya satu perniagaan yang sangat menguntungkan yang tentunya bagi USM boleh dilaksanakan dengan begitu banyak produk penyelidikan pelajar pada peringkat ijazah tinggi yang boleh diketengahkan untuk dikomersilkan sekarang ini.

“Kita boleh lakukan lebih banyak latihan dan mencari produk-produk baharu untuk diketengahkan yang selama ini barangkali kita kurang selaraskan dan majukan dengan sewajarnya,” katanya lagi. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2103

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024