KESEJAHTERAAN MAHASISWA PERLU DIPERKUKUH MELALUI KERJASAMA PELBAGAI PIHAK – MPP USM

PULAU PINANG, 21 April 2026 – Kepimpinan mahasiswa menegaskan kebajikan pelajar perlu terus diberi keutamaan melalui kerjasama bersepadu antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan wakil mahasiswa.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino berkata, dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, peningkatan kos sara hidup memberi kesan langsung kepada mahasiswa, khususnya dari segi perbelanjaan harian.
Beliau berkata isu kenaikan harga makanan, kos bahan api serta keperluan asas lain antara cabaran utama yang sering dibangkitkan dalam kalangan pelajar.
“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima maklum balas positif daripada kepimpinan mahasiswa, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif berimpak ialah pelaksanaan program Dapur Siswa dan Food Bank Siswa yang membantu mahasiswa berdepan kekangan kewangan.
Di peringkat institusi, katanya, USM turut melaksanakan pelbagai langkah sokongan selaras dengan aspirasi kerajaan, termasuk penyertaan dalam program Dapur Siswa dan Food Bank.
“Ia mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian,” katanya sambil menjelaskan Dapur Siswa menyediakan akses makanan pada harga berpatutan, manakala Food Bank berfungsi sebagai jaringan sokongan bagi membantu pelajar mendapatkan keperluan asas sekaligus mengurangkan tekanan kewangan.
Beliau berkata kepimpinan mahasiswa memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kebajikan di kampus serta memastikan manfaat program disalurkan secara menyeluruh kepada pelajar yang memerlukan.
“Kepimpinan mahasiswa juga bertindak sebagai penghubung antara pelajar dan pihak pentadbiran dalam menyalurkan maklum balas serta isu sebenar yang dihadapi, agar tindakan lebih berkesan dapat diambil,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar khususnya tahun akhir turut berdepan cabaran mengimbangi tuntutan akademik dengan peningkatan kos sara hidup.
Beban tugasan, projek akhir dan keperluan akademik memerlukan sokongan persekitaran kampus yang kondusif.
Dalam konteks ini, kewujudan inisiatif kebajikan seperti Dapur Siswa dan Food Bank bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas, malah menyokong kesejahteraan emosi pelajar untuk terus memberi tumpuan kepada pengajian.
Secara keseluruhan, kesejahteraan mahasiswa diperkukuh melalui kerjasama pelbagai pihak, dengan kebajikan pelajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara selaras dengan peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
Teks & Foto: Majlis Perwakilan Pelajar, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM
- Created on .
- Hits: 53