USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT PENGKOMERSIALAN NEGARA BANTU PENYELIDIK KETENGAHKAN PRODUK

181113-1

PULAU PINANG, 18 Nov. 2013 – Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mewujudkan Pusat Pameran Pengkormesialan Negara (PPPN) yang berperanan untuk mengetengahkan inovasi dan produk-produk penyelidikan berkualiti penyelidik tempatan.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, PPPN diwujudkan bagi memberi ruang kepada para penyelidik khususnya dari institusi pengajian tinggi awam negara mengangkat produk penyelidikan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, rekacipta dan inovasi penyelidik tempatan menjadi tonggak kepada kemajuan sains dan teknologi dan bidang tersebut perlu dibangunkan serta digembleng bagi memacu pertumbuhan ekonomi, sekaligus merealisasikan harapan menjadi sebuah negara maju.

``Tahun 2014 telah dipilih sebagai tahun pengkomersialan produk penyelidikan (MCY) dan seiring dengan itu pihak MOSTI akan menjalankan pelbagai agenda untuk memperhebatkan pencapaian bidang sains dan teknologi.

181113-4

``PPPN berperanan dalam memberi ruang kepada penyelidik mempamerkan produk penyelidikan mereka yang sedia dikomersialkan dan yang telah meraih pelbagai pengiktirafan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan USM Penang Space Festival anjuran bersama USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Northern Skills Development Centre (NSDC), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Hassan Ahmad, Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor See Ching Mey dan TNC Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

181113-3

Abu Bakar juga berkata, PPPN turut membantu penyelidik meraih perhatian pelabur dengan menjadikannya satu pusat khas yang wajib dilawati oleh pelawat khususnya dari luar negara.

``Dengan cara ini kita akan dapat membawa produk penyelidikan tempatan ke arah menjayakan MCY, yang mana di bawah MCY, kita menyasarkan untuk mengkomersialkan sekurang-kurangnya 360 produk penyelidikan menjelang 2020

``Ia turut berupaya mengatasi masalah yang membelenggu para penyelidik yang mana selepas mereka tampil dengan produk, masuk pertandingan dalam dan luar negara, diiktiraf oleh banyak pihak namun pada akhirnya balik disimpan di IPT masing-masing,’’ ujarnya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan sehingga Ogos 2013, pihak MOSTI telah membelanjakan sebanyak RM498.26 juta untuk perbelanjaan penyelidikan dan projek inovasi berasaskan sains teknologi.

Katanya, daripada peruntukan itu sebanyak 1,256 projek penyelidikan telah diluluskan oleh kementerian dan 54 daripadanya telah berjaya disiapkan, sembilan berada di peringkat prototaip, paten (69), hak cipta (lapan), trademark (19) dan rekabentuk industri (tiga).

``Daripada jumlah projek yang telah diluluskan itu juga terdapat 29 projek yang berjaya dikomersilkan dengan pulangan hasil sebanyak RM18.28 juta, selain berjaya menyediakan 2,817 peluang pekerjaan.

``Kerajaan begitu komited untuk membangunkan bidang sains ini dan sehingga kini telah berjaya menghasilkan sebanyak 58.2 peratus saintis dalam 10,000 pekerja di negara ini. Kita juga yakin sasaran 70 peratus saintis dalam 10,000 pekerja menjelang tahun 2020 dapat dicapai," katanya.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, penganjuran USM Penang Space Festival selari dengan hasrat MOSTI untuk memacu bidang sains dan teknologi sebagai pemangkin untuk bergelar sebuah negara maju.

Katanya, USM turut berhasrat untuk meluaskan penganjuran program tersebut ke peringkat nasional, sekaligus dapat memupuk minda sains dalam kalangan masyarakat sejak dari awal persekolahan.

``Kita komited untuk menjalin kerjasama dengan MOSTI bagi menjayakan pelbagai program yang melibatkan penyertaan masyarakat untuk membantu meningkatkan minat mereka dalam bidang ini,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1045

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024