USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR DAN STAF USM TERPILIH MEWAKILI SKUAD FUTSAL KEBANGSAAN MALAYSIA

WhatsApp Image 2026 04 22 at 15.32.34

USM PULAU PINANG, 5 April 2026 – Sekalung tahniah diucapkan kepada Muhammad Amirul Syahmi Mohd Sanusi dan Muhammad Danial Zhafirul Bazlan atas kejayaan terpilih mewakili skuad futsal kebangsaan Malaysia.

Muhammad Amirul, 23, berasal dari Raub, Pahang, merupakan pelajar tahun 3 di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Muhammad Danial, 22, berasal dari Kota Bharu, Kelantan, merupakan staf di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Kedua-duanya merupakan pemain pasukan futsal USM FC (USMKK FC) yang pernah mencipta kejayaan apabila menjuarai Malaysian Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 Tahun 2025, sekali gus membuktikan keupayaan, komitmen, dan semangat juang tinggi dalam arena futsal negara.

Pemilihan ini bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya merupakan hasil daripada usaha gigih, disiplin yang tinggi, dan dedikasi berterusan dalam mengharumkan nama pasukan, institusi, dan negara.

WhatsApp Image 2026 04 22 at 15.32.34 1

Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan kerana melibatkan seorang staf dan seorang pelajar yang berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada dua warga USM ini atas kejayaan mereka terpilih mewakili skuad futsal kebangsaan Malaysia. Pencapaian ini seiring dengan motto USM, iaitu ‘Kami Memimpin’ yang mencerminkan kecemerlangan warga universiti dalam pelbagai bidang, termasuk sukan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada tahun ini pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai USMKK FC akan bertanding dalam MPFL 2026 dengan nama baharu, iaitu USM FC.

“Semoga kedua-duanya terus melangkah maju, mengekalkan prestasi cemerlang serta memberikan komitmen terbaik demi Malaysia tercinta,” kata Azizudin.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai bakat muda untuk terus berani bermimpi, berusaha tanpa jemu dan mengangkat martabat sukan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Teruskan berjuang dengan penuh semangat, kerana setiap langkah di gelanggang adalah lambang maruah dan kebanggaan Malaysia.

Ayuh Harimau Malaya! Gegarkan gelanggang, bangkit dengan semangat juang yang membara dan terus mengaum di pentas antarabangsa!!!

Teks & Foto: Facebook USM

  • Created on .
  • Hits: 33

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025