USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM KESARJANAAN APEX: KEMAHIRAN MAHASISWA DIPERTINGKAT DARI AWAL

DSC 0111

PULAU PINANG, 15 Nov. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan melancarkan  program pengupayaan bakat dan kemahiran pelajar dalam kerangka pembangunan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) fasa dua yang dikenali sebagai Program Kesarjanaan APEX.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, program tersebut berperanan dalam memberi pengiktirafan dan platform untuk mahasiswa memacu kecemerlangan melangkaui bidang akademik semata-mata.

Katanya, fokus program itu adalah dalam memupuk minda bertaraf global dalam kalangan mahasiswa dan melaluinya Universiti akan membantu dalam menyediakan program-program khusus meliputi aspek kemahiran berbahasa, kepimpinan, keusahawanan dan sebagainya.

``Universiti berharap program Kesarjanaan APEX ini akan dapat dilaksanakan pertengahan tahun depan dan kini ia masih dalam peringkat memperkemas blueprint ,’’ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Omar terdahulu menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan EXCO Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi sidang akademik 2013/2014. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Profesor Adnan Hussein.

Tambah Omar, teras kepimpinan barisan MPP baru yang menetapkan enam teras ke arah memimpin mahasiswa yang mempunyai pemikiran global seiring dengan matlamat universiti untuk meningkatkan daya saing mahasiswa.

Ujar beliau, sehingga kini hanya ada 15 peratus sahaja graduan di negara ini yang menempa kerjaya di sektor antarabangsa dan USM berharap jumlah tersebut dapat dipertingkatkan melalui pelaksanaan program yang dirancang.

``Kita akan memupuk budaya pengantarabangsaan dalam kalangan mahasiswa seawal tahun pertama mereka berada di Universiti dan kaedah pelaksanaannya akan diperkemas dari masa ke semasa,’’ katanya.

Dalam pada itu, barisan kepimpinan baru MPP dibarisi oleh 45 mahasiswa yang dipilih dalam proses pemilihan pelajar Oktober lalu dengan diketuai oleh Yang Dipertuanya, Mohamad Shafiq Kamaruddin.

Dua lagi mahasiswa pilihan warga USM, Jemindar Ab Kadir, Muhammad Mus’ab Umair Azeman dan Shah Ozair Shaharuddin masing-masing dilantik sebagai Naib Yang Dipertua satu dua dan tiga.

Jawatan Setiausaha pula disandang oleh Nurul Amni Azizan dan Mazni Mohd Zuki dipilih sebagai Bendahari. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1015

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024