USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KIK USM 2026 IKTIRAF INOVASI TERBAIK DALAM DUA KATEGORI UTAMA

IMG 2452

USM PULAU PINANG, 17 April 2026 – Inovasi berasaskan pendigitalan aliran kerja (workflow digitization) yang dibangunkan Unit Imejan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang dikenali sebagai Rad Trackers itu dinobatkan sebagai juara dalam Mini Konvensyen KIK Horizon Baharu Peringkat USM 2026 bagi kategori Penyampaian Perkhidmatan yang berlangsung di sini semalam.

IMG 2455

Rad Trackers dibangunkan menggunakan sistem berasaskan aplikasi yang ringan, pantas, dan mesra pengguna, sekali gus menggantikan kaedah manual sedia ada dengan pendekatan lebih sistematik dan efisien.

Sistem itu membolehkan penyusunan slot janji temu dilakukan secara teratur, di samping memudahkan pegawai perubatan melaksanakan proses saringan atau ‘vetting’ secara digital.

IMG 2457

Bagi kategori Sosial, juara disandang oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan menerusi projek Modul Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Intelek-VT@USM.

Buku panduan yang dibangunkan melalui projek itu disediakan sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan program VT@USM, merangkumi pendekatan Training of Trainers (TOT) bagi melatih tenaga pelaksana untuk memperluas program berkenaan ke seluruh negara.

IMG 2453

Mini konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan USM.

Pendaftar USM, Mohd Azizuddin Mohd Shariff, hadir meraikan pemenang pada kemuncak acara. Turut hadir ialah Pengarah Pusat Transformasi Insan, Nurul Izzati Rozali.

IMG 2458

Azizuddin berkata, penganjuran konvensyen itu merupakan platform strategik universiti dalam memperkasa budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan staf, selaras dengan aspirasi meningkatkan kecekapan proses kerja, pembangunan teknikal dan sistem penyampaian perkhidmatan.

Tambah beliau, program itu juga dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan universiti di samping mengenal pasti kumpulan terbaik untuk mewakili USM ke Konvensyen KIK peringkat Universiti Awam (UA) yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.

IMG 2456

“Penyertaan aktif memperlihatkan komitmen tinggi warga USM dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja memperkukuh keupayaan organisasi, malah memberi impak positif kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 10 kumpulan mengambil bahagian dalam konvensyen kali ini melibatkan wakil dari Kampus Induk serta Kampus Kesihatan dan Hospital Pakar USM (HPUSM), merangkumi dua kategori utama iaitu Penyampaian Perkhidmatan dan Sosial.

Penilaian konvensyen dilaksanakan secara holistik meliputi aspek dokumentasi projek, sesi pembentangan, demonstrasi, dan sesi soal jawab.

Panel juri terdiri daripada pakar luar turut dilantik bagi memastikan penilaian dibuat secara telus dan profesional.

Sebagai galakan kepada peserta, hadiah wang tunai, piala, dan sijil disediakan kepada pemenang bagi setiap kategori.

Secara keseluruhannya, Mini Konvensyen KIK Horizon Baharu 2026 menjadi platform penting dalam mencetuskan idea inovatif serta memperkukuh budaya kerja kreatif dalam kalangan warga USM.

Penganjuran tersebut diharapkan dapat terus menyemarakkan usaha transformasi universiti ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan proses kerja.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 345

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025