RM158,400 DANA ZAKAT ALUMNI USM BANTU 396 PELAJAR B40

USM PULAU PINANG, 17 April 2026 – Keprihatinan dalam kalangan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) terus diberi perhatian apabila sejumlah RM158,400 berjaya dikumpulkan bagi membantu pelajar dalam kategori B40 melalui Majlis Bantuan Zakat Dermawan Alumni dan Rakan-Rakan yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1), Kompleks Cahaya Siswa, USM, petang ini.
Majlis yang berlangsung penuh bermakna itu menyaksikan seramai 396 pelajar menerima sumbangan sebanyak RM400 seorang, hasil usaha murni para alumni dan dermawan yang tidak pernah putus dalam menyokong kebajikan pelajar-pelajar kurang berkemampuan di USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang yang terdiri daripada usahawan dan alumni, khususnya tokoh dermawan yang memainkan peranan besar dalam menjayakan program ini.

“Di sini ingin saya nyatakan bahawa nilai sebenar sumbangan ini bukan terletak pada jumlah ringgit semata-mata, tetapi pada keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki yang menjadi teras kepada amalan mulia ini,” kata beliau.
Tambah beliau, terdapat ribuan pelajar dalam kategori B40 di USM, dan inisiatif seperti ini dilihat sebagai usaha berterusan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terbela.

“Pemilihan penerima juga dibuat secara teliti melibatkan pelajar beragama Islam, aktif dalam pengajian, dan tidak menerima bantuan lain, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelas Abdul Rahman lagi.

Suasana majlis turut diserikan dengan sesi ramah mesra antara pelajar dan para dermawan, sekali gus mengeratkan hubungan serta menyemai rasa syukur dan penghargaan dalam kalangan penerima.

Turut hadir ke majlis ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Mohd Ali Mohd Salleh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Shukeri A. Rahaman; Presiden Persatuan Alumni USM, Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman; dan Mewakili Penyelaras Majlis Bantuan Zakat Dermawan Alumni dan Rakan-rakan, Datin Rohayati Ismail.
Teks & Foto: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 189