PELAJAR USM RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA DI MIFF FURNITURE DESIGN COMPETITION 2026

USM PULAU PINANG, 1 April 2026 – Seorang pelajar dari Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Prathiin Saravanamuthu, telah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila menerima anugerah ‘Special Mention’ di MIFF Furniture Design Competition 2026 yang diadakan bersempena Malaysian International Furniture Fair (MIFF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Prathiin, pelajar tahun ketiga jurusan Rekabentuk Produk, berjaya memikat hati para juri dengan inovasinya yang dinamakan ‘StackaBlock,’ iaitu sistem perabot modular yang direka khas untuk kanak-kanak Generasi Alpha.
Konsep kreatif ini mengangkat perabot sebagai blok binaan interaktif yang boleh dipasang, diubah suai, dan dipersonalisasi oleh kanak-kanak sendiri.
‘StackaBlock’ bukan sekadar perabot, tetapi medium yang menggalakkan kreativiti, membina sikap berdikari, dan merangsang permainan simbolik dalam kalangan generasi muda.
Pertandingan tersebut menarik penyertaan seramai 138 peserta daripada 37 institusi seluruh negara.

Prathiin berjaya mara daripada senarai 20 terbaik ke peringkat akhir 10 peserta, di mana rekaannya dinilai oleh panel juri antarabangsa yang diketuai oleh Dr. Eric Leong.

Pada peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 Mac 2026, ‘StackaBlock’ diiktiraf atas keunikan inovasi dan potensi pembangunan yang kukuh dalam industri.
Dalam kenyataan beliau selepas pencapaiannya itu, Prathiin berkata: “Generasi Alpha merupakan generasi yang lahir dan membesar sepenuhnya dalam persekitaran digital. Dengan ‘StackaBlock,’ saya ingin menterjemahkan rasa interaktif itu ke dunia fizikal, memberi kanak-kanak kebebasan untuk membina, bermain, dan belajar dengan cara yang semula jadi bagi mereka.”

Beliau menambah: “Keselamatan dan kelestarian adalah teras kepada rekaan saya. Dengan menggunakan polipropilena kitar semula dan mengelakkan penggunaan pengikat berbahaya, saya mahu menghasilkan produk yang mesra kanak-kanak dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.”
Pihak Pusat Pengajian Seni turut menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut mencerminkan pendekatan holistik universiti dalam pendidikan rekabentuk.

Menurut kenyataan rasmi pusat pengajian, kejayaan Prathiin menjadi bukti kemampuan pelajar untuk menghubungkan inovasi akademik dengan keperluan industri.
Hasil inovasinya menyerlahkan pendekatan rekabentuk berpusatkan pengguna, menekankan kelestarian dan pertimbangan praktikal dalam pengeluaran; kesemuanya ciri-ciri utama yang diyakini akan mendefinisikan masa depan bidang rekabentuk.

MIFF, pameran perdagangan perabot terbesar di Asia Tenggara, menyediakan platform kepada pereka muda untuk mengetengahkan idea inovatif mereka kepada pembeli dan pengeluar bertaraf global.
Pengiktirafan yang diterima Prathiin bukan sahaja menyerlahkan kreativiti individu beliau, malah mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan penyelesaian rekabentuk yang responsif terhadap keperluan masyarakat masa kini, khususnya dalam pembangunan kanak-kanak, kelestarian dan persekitaran hidup adaptif.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Prathiin Saravanamuthu, Pusat Pengajian Seni, USM
- Created on .
- Hits: 22