DEFINISI SEMULA KECEMERLANGAN UNTUK PASTIKAN TUGAS PENSYARAH SENTIASA RELEVAN DAN BERTUNJANG KEBAIKAN - "amat suka, amat setuju dan amat sesuai" dalam konteks P&P
KUBANG KERIAN, 17 November 2013 -Para pensyarah perlu memastikan sentiasa menjiwai tugasnya, relevan dan bertunjangkan kebaikan dalam membentuk mahasiswa hari ini dengan pelbagai disiplin ilmu.
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika merasmikan "Annual Teaching and Learning Seminar 2013" yang bertemakan "A New Culture of Learning and Teaching" di sini hari ini.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamad dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik & Penasihatan & Pembangunan Pelajar (CDAE), Profesor Dr. Abdul Karim Alias.
Menurut Naib Canselor, para pensyarah perlu peka dengan persekitaran yang banyak berubah dan sedar bahawa pemegang taruh terpenting ialah pelajar.
"Saya amat suka pensyarah yang mementingkan keberkesanan pembelajaran, suka mengajar, peka kepada pelajar dan menjadikan profesionnya sebagai satu gaya hidup, yang berjalan, bercakap dan segala tindakannya adalah sebagai seorang pensyarah, seorang yang dihormati oleh pelajar, jabatan, keluarga dan masyarakatnya malah dia juga dihormati dengan amalan profesional sepanjang hidupnya," kata Naib Canselor.
"Pada masa yang sama, saya amat berkenan jika universiti di Malaysia mempunyai pensyarah yang menganggap pensyarah sebagai satu profesion dengan matlamat menjadi seorang yang sentiasa relevan dalam hidupnya yang dengan sendirinya berupaya meningkatkan kecemerlangan dan mampu membangunkan institusi di mana dia berada," jelasnya lagi.
Naib Canselor juga menyebut tentang keyakinannya terhadap usaha meningkatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.
"Saya amat bersetuju dengan saranan untuk meningkatkan kecemerlangan pengajian tinggi melalui usaha pengajaran dan pembelajaran dan yakin bahawa di semua universiti, kita perlu teruskan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran," tambah Naib Canselor.
Namun tegas Omar, kita perlu definisikan kecemerlangan yang dicari termasuk di luar kuliah dan makmal iaitu adakah kecemerlangan terletak di atas kertas semata-mata, di dalam dewan kuliah sahaja dan bagaimana pula ketika berada di luar kuliah dan makmal dan yang paling penting, kita perlu didik anak-anak agar sentiasa cemerlang dan perlu budayakan mencari ilmu bukan sekadar menirunya seperti mana yang kita tegaskan di dalam dasar plagiarisma universiti.
Naib Canselor turut menekankan bahawa "amat sesuai" jika seseorang ahli akademik dapat merasa jiwanya sesuai dengan tugasnya sebagai seorang pensyarah kerana hanya dengan menjiwainya, tidak ada sebab mengapa pelajar tidak jadikan seseorang pensyarah sebagai contoh dan "role model".
"Jadilah seorang pensyarah yang pelajar kita akan berkata, 'kami berkenan dan relevan, setuju dan hormat apa yang diberikan kepada kami sebagai ilmu yang amat sesuai digunakan pada masa hadapan' termasuklah dalam penggunaan teknologi, e-pembelajaran dengan kaedah yang bersesuaian dengan masa apatah dengan cepatnya berlaku perubahan sekarang ini", kata Naib Canselor.
Menurut Omar lagi, tugas seseorang pensyarah adalah melewati kerjanya di bilik kuliah dan makmal dan sentiasa berusaha agar tugas yang dilakukan akan menyebabkan orang sentiasa berkenan dengan kita dan apa yang dibuat mestilah lebih relevan.
Beliau mengajak semua pensyarah menjawab soalan mengapa 'tidak boleh menjadi seorang yang orang berkenan', dipersetujui dan sesuai untuk masa kini dan masa hadapan serta menjadi pensyarah yang berupaya berkomunikasi dalam konteks maya dan sedar betapa tugas sebagai pensyarah adalah murni, melewati bilik kuliah dan makmal serta menghasilkan pelajar yang baik-baik yang juga akan melakukan hal yang baik-baik untuk faedah orang lain dan masyarakat, untuk kebaikan semua pihak dan tidak melakukan kerosakan kepada orang serta berdoa agar ilmu yang diberikan adalah untuk manfaat dan kebaikan apatah lagi seseorang perlu sedar tentang pertanggungjawaban yang ada kemudian hari kelak.
Kira-kira 90 orang staf akademik dari USM dan beberapa buah institusi pengajian tinggi lain turut hadir dalam seminar yang dianjurkan oleh CDAE. Seminar yang sama telah berlangsung di Kampus Induk pada 31 Oktober lalu. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1690